Hari Inovasi semai budaya kerja berkualiti

Nazran (kiri) menyampaikan anugerah kepada pemenang semasa Majlis Sambutan Hari Inovasi Sektor Awam Negeri Kelantan Tahun 2022 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Selasa.
Nazran (kiri) menyampaikan anugerah kepada pemenang semasa Majlis Sambutan Hari Inovasi Sektor Awam Negeri Kelantan Tahun 2022 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Penganjuran Majlis Sambutan Hari Inovasi Sektor Awam Negeri Kelantan Tahun 2022 membuktikan komitmen dan inisiatif murni pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan bagi menyemai dan memperkasakan budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan anggota perkhidmatan awam di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad berkata, inovasi bukan sahaja mencakupi prosedur kerja tetapi dalam cara berfikir idea-idea kreatif, bertindak, sanggup berubah supaya terus relevan serta selari dengan keperluan perkhidmatan dan amalan kerja semasa bagi meletakkan jabatan di landasan yang paling efisien.

"Hal tersebut menjamin perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada rakyat.

"Idea-idea boleh diperolehi daripada sekeliling kita, dalam dan luar atau melalui proses penyelidikan serta pembangunan sebagai idea baharu atau diadaptasi untuk diguna pakai mengikut keperluan jabatan atau agensi," katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Sektor Awam Negeri Kelantan Tahun 2022 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.

Menuru beliau, kemunculan masyarakat yang canggih dari segi ICT, peningkatan tahap pendidikan, keterbukaan sikap dan mempunyai ekspektasi tinggi telah menuntut kerajaan supaya memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan rakyat.

Ujarnya, kerajaan perlulah sentiasa merencana penyampaian perkhidmatan yang berpaksikan rakyat agar aspirasi dan ekspektasi rakyat dapat dipenuhi.

Nazran berkata, pembudayaan inovasi dalam organisasi adalah satu ciri penting dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa berada pada tahap cemerlang.

"Inovasi yang berterusan diperlukan dalam mempelbagaikan dimensi kejayaan ke arah kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri serta negara.

Artikel Berkaitan:

"Penjawat awam juga perlu sentiasa memikirkan dan melakukan pembaharuan, terutama dalam cara bekerja dan sistem bekerja sedia ada di organisasi masing-masing bagi menghasil serta mengetengahkan hasil idea inovasi dan kreativiti demi memenuhi tuntutan dasar, memastikan perkhidmatan yang diberikan lebih efisien, menjimatkan kos dan sampai terus kepada golongan sasar," katanya.

Pada majlis yang sama beliau turut menyampaikan hadiah kepada Pemenang Anugerah Inovasi yang mengungguli kategori Inovasi Pengurusan Kewangan iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Bagi kategori Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi, johan disandang Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Manakala Majlis Daerah Pasir Puteh pula menjuarai kategori Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan.

Setiap johan menerima hadiah wang tunai RM4,000 bersama piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.