Ejen seludup PATI negara jiran dicekup

PATI yang ditahan dalam operasi khas Imigresen Malaysia di Terminal Bas Shah Alam pada Ahad. -Foto: Imigresen Malaysia. (Gambar kecil: Khairul Dzaimee)
PATI yang ditahan dalam operasi khas Imigresen Malaysia di Terminal Bas Shah Alam pada Ahad. -Foto: Imigresen Malaysia. (Gambar kecil: Khairul Dzaimee)
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Kemboja disyaki ejen penyeludup migran ditahan bersama lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi khas di Terminal Bas Shah Alam, di sini Ahad lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, PATI berkenaan dikenakan bayaran sekitar RM5,000 ke RM6,000 setiap seorang oleh ejen di negara jiran.

"PATI yang diseludup dipercayai baharu masuk ke negara ini secara tidak sah melalui ‘lorong tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand.

"Pasukan operasi telah mengesan sekumpulan 6 orang warga asing yang disyaki ejen dan PATI yang diseludup berada di dalam terminal bas dan menahan mereka sejurus keluar dari terminal sekitar jam 7 petang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua PATI berkenaan menaiki bas ekspres dari negeri berhampiran sempadan ke Shah Alam sebelum dibawa ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati mereka masuk ke dalam negara pada 15 Oktober lalu menggunakan jalan yang tidak diwartakan.

"Semakan ke atas ejen warga Kemboja mendapati beliau telah masuk ke negara ini pada Julai dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

"Sindiket ini dikesan mula beroperasi sejak pintu sempadan negara mula dibuka semula selepas ditutup akibat pandemik Covid-19," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lelaki warga Kemboja berusia 47 tahun itu dipercayai menerima upah sekitar RM300 hingga RM500 daripada ejen di negara jiran untuk menguruskan kemasukan PATI terbabit.

"Kesemua PATI berusia lingkungan 18 hingga 44 tahun dan ejen berkenaan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63," ujar beliau.