Tajuddin nak sekolahkan PBB, Suhakam

Tajuddin Abdul Rahman
Tajuddin Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - KUALA LUMPUR - Selepas mengeluarkan ungkapan 'go to hell with United Nation' atau pergi jahanam sama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), ahli Parlimen Pasir Salak jemput PBB datang ke Malaysia untuk 'disekolahkan'.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, PBB yang mengeluarkan konvensyen seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) itu tidak memahami resam dan budaya di Malaysia yang dihuni masyarakat majmuk.

"Apa yang saya maksudkan, PBB nak menyamaratakan Malaysia seperti negara-negara lain seluruh dunia dengan peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Sedangkan PBB mana tahu kedudukan di dalam sesebuah negara itu. PBB tak boleh samakan Arab Saudi sebuah negara Islam, dengan negara Islam seperti Malaysia.

"PBB persoalkan kita sebab banyak negara Islam lain ratifakasikan ICERD kenapa tidak Malaysia. Di sini Melayu dan Bumiputera sebagai pribumi yang beragama Islam dan kita ada kaum-kaum lain pendatang sejak zaman penjajahan Inggeris.

"Jadi saya nak jemput PBB dan Suhakam jadi tetamu kita untuk berdialog dengan saya dan ramai lagi yang, boleh kita sekolahkan mereka," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, adalah lebih baik sekiranya PBB tidak masuk campur urusan Malaysia jika tidak tahu sejarah dan kontrak sosial yang telah dipersetujui rakyat pelbagai kaum di sini.

Tambah Tajuddin lagi umum maklum PBB dikawal oleh negara Barat dan Eropah yang dahulunya menjajah Tanah Melayu.

"Jika anda tidak tahu latar belakang sejarah negara ini, bagaimana cara kami di sini hidup bersama dan bagaimana hubungan kami bermula, minta maaf tak usah masuk campur.Ini yang saya maksudkan "go to hell".

Artikel Berkaitan:

"PBB siapa kawal? Orang Barat, Amerika Syarikat dan Eropah. Mereka tak tahu apa yang berlaku di Malaysia, hak istimewa Melayu dan Bumiputera dan cara kita menghormati kaum lain.

"Tiada sebarang diskriminasi, jangan mereka pandai-pandai tuduh kita diskriminasi kaum lain," katanya.

Tajuddin dalam ucapannya Sabtu lalu mendakwa PBB mahu mempengaruhi hala tuju negara dan dengan menguasai politik orang Islam serta kaum Melayu di negara ini melalui ICERD.

Ucapannya itu turut diselitkan dengan ayat 'go to hell with United Nation' dan disambut dengan sorakan peserta yang hadir di perhimpunan tersebut.