'Kalau BN kalah PRU15, ramai akan masuk Bersatu'

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan Tahun 2022. -Foto Bernama.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan Tahun 2022. -Foto Bernama.
A
A
A

KUANTAN - Amalan melompat dari satu parti ke parti lain membabitkan ahli mahupun pemimpin daripada mana-mana parti adalah perkara biasa.

Setiausaha Agong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbuatan itu adalah perkara sama yang dilakukan oleh semua pihak.

"Kalau BN tidak berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ramai ahli UMNO akan lompat masuk ke kita (Bersatu).

"Jadi sama sahaja, akan ada ahli dan pemimpin akan melompat untuk sertai UMNO atau Bersatu," katanya ringkas ketika menjawab dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil kononnya ramai ahli dan pimpinan Bersatu akan menyertai UMNO atau Pas selepas PRU15.

Beliau sebelum itu hadir pada majlis pelancaran Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di sini pada Rabu.

Majlis dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada 16 Oktober lalu, Isham dilaporkan berkata, kegagalan Bersatu untuk menang besar pada pilihan raya umum akan datang boleh menjadi pengakhiran kepada parti itu, dengan ahlinya kembali semula kepada UMNO atau menyertai Pas.

Beliau meramal prestasi buruk Bersatu pada PRU15 juga bakal menyaksikan penyudahan kepada Perikatan Nasional (PN) kerjasama politik diterajui Bersatu dan Pas.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai Program Keluarga Aspirasi Kepulihan, Hamzah memaklumkan ia adalah satu daripada komponen yang terkandung dalam model rawatan dan pemulihan yang digunakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam merawat pulih penagihan dadah di seluruh negara.

Menurutnya, sejajar dengan perubahan semasa yang memperlihatkan trend penyalahgunaan dadah berubah ke arah jenis sintetik berbanding dadah organik, AADK telah mengubah pendekatan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah.

"Pendekatan lasak dan tahan adalah satu pendekatan holistik dan prihatin yang merangkumi aspek biologi, psikologi, sosial dan spiritual seseorang klien serta keluarganya yang dijenamakan sebagai Model i-Pulih AADK.

"Pendekatan dalam model ini adalah dibina berasaskan kepada keperluan klien dari penilaian yang dilaksanakan. Banyak kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang kuat antara peranan keluarga dengan kejayaan program rawatan dan pemulihan dadah," jelas beliau.

Tambah Hamzah, keluarga berperanan untuk menyokong dan mempunyai interaksi positif sesama ahli dikatakan mampu membentuk peribadi diri individu lebih kuat dan terhindar dari masalah dadah.