Gesa RUU Sumbangan Politik ada dalam manifesto: Hussamuddin

Hussamuddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media #SatuJari Sempena PRU15 di Kumpulan Karangkraf pada Selasa
Hussamuddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media #SatuJari Sempena PRU15 di Kumpulan Karangkraf pada Selasa
A
A
A

SHAH ALAM - Rasuah Busters menggesa semua parti politik memastikan empat lagi tuntutan dibuat gerakan itu yang belum dipenuhi terutamanya Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masing-masing.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tindakan itu penting bagi menunjukkan kesungguhan setiap parti untuk melaksanakan perkara tersebut.

“Kalau diikutkan memang sudah tidak sempat untuk dilaksanakan (RUU Sumbangan Politik) dalam masa terdekat ini tetapi apa yang kita hendak tekankan adalah semua parti perlu meletakkan perkara ini dalam manifesto sebagai keutamaan.

“Maksudnya semua tuntutan yang belum sempat dilaksanakan, kita gesa semua parti masukkan dalam manifesto mereka dan kita juga hendak mereka beri akujanji bahawa mereka akan buat supaya sekurangnya-kurangnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti semua telah ditunaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik selesai menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Sidang Media #SatuJari Sempena PRU15 di Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #Rasuah Busters, Nurhayati Nordin dan beberapa wakil Pasukan Teras Rasuah Busters, Anas Zubedy; Profesor Harmandar Singh dan Rozaid Rahman yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian.

Rasuah Busters bersama lebih 400 gabungan sebelum ini mengemukakan enam tuntutan politik terhadap kerajaan antaranya pelaksanaan dan sokongan penuh kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP); memperkenalkan dan mengadakan Pilihan Raya Pecat sebagai alternatif segera kepada akta Anti Lompat Parti; mempercepatkan pembentangan dan pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik dan pelaksanaan dan pemeriksaan Undi18.

Tuntutan lain adalah memastikan kebebasan dan ketelusan institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara dan melaksanakan reformasi Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, dua daripada enam tuntutan itu telah dipenuhi antaranya pelaksanaan Undi18 dan RUU larangan ahli Parlimen bertukar parti.

Sementara itu, mengulas mengenai kempen #SatuJari, beliau berkata, inisiatif itu diambil bagi menyampaikan mesej mengenai pentingnya nilai satu jari setiap pengundi dalam pilihan raya yang disifatkan paling mencabar ini untuk membawa perubahan kepada 32.7 juta rakyat Malaysia.

#SatuJari merupakan simbolik jari jutaan rakyat Malaysia yang mengharapkan perubahan negara daripada segenap aspek, yang mana nilai seorang keluar mengundi akan menentukan sistem infrastruktur, pendidikan, kesihatan kerjaya dan lain-lain kemudahan lebih baik untuk rakyat.

Selain itu, #SatuJari juga akan memastikan kedudukan ekonomi negara berada di kedudukan yang stabil, disamping turut membentuk pemerkasaan demokratik belia melalui Undi18 agar prihatin tentang tanggunbjawab dan hak kewarganegaraan yang perlu dipraktikkan dalam PRU15 nanti.