PRU15 medan rakyat pilih pemimpin bersih, integriti

Nurhayati berucap pada majlis pelancaran kempen #Satujari PRU15:Rakyat tolak rasuah yang berlangsung di Kumpulan Media Karangkraf pada Selasa.
Nurhayati berucap pada majlis pelancaran kempen #Satujari PRU15:Rakyat tolak rasuah yang berlangsung di Kumpulan Media Karangkraf pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Rasuah Busters menggesa rakyat supaya menjadikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai medan bagi memilih pemimpin yang bersih dan berintegriti.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, PRU15 jalan terbaik bagi 'membersihkan' Malaysia daripada pemimpin yang korup.

Nurhayati berkata, beliau yakin #SatuJari adalah solusi sekiranya semua mengambil berat bahawa ini adalah satu permulaan baik untuk rakyat Malaysia pada PRU15.

"Kita tidak perlu menunggu dua tiga pilihan raya umum untuk sebuah perubahan dibuat, yakinlah setiap yang kita lakukan tidak kecil di mata ALLAH SWT.

"Kepada mereka yang penuh kekecewaan, tidak mahu keluar mengundi, bayangkan ini adalah undi terakhir anda dan kita dipanggil menghadap Tuhan dalam tempoh lima tahun ini dan perubahan berlaku sedikit demi sedikit.

"Mudah-mudahan ketika dibangkitkan di Mahsyar kelak kita diraikan atas kesabaran dengan undi yang berjaya bebaskan Malaysia daripada rasuah," katanya ketika berucap pada pelancaran kempen #Satujari PRU15:Rakyat tolak rasuah yang berlangsung di Kumpulan Media Karangkraf pada Selasa.

Sementara itu mengulas mengenai kempen #SatuJari, Nurhayati berkata, meskipun bakal berhadapan dengan cabaran yang besar pihaknya yakin bahawa kesedaran rakyat untuk memilih pemimpin bersih pada PRU15 amat tinggi.

"Kempen ini satu usaha yang saya kira cukup mencabar...Apa guna kita mengundi kalau kita undi orang yang melakukan rasuah dan kebobrokan kepada negara.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita yakin kemekaran akan tumbuh di negara ini sekiranya memilih mereka yang layak bagi memimpin negara ini," tegasnya.

Untuk itu katanya, Rasuah Busters akan 'berjalan' dari satu negeri ke satu negeri untuk mendengar secara langsung suara hati rakyat sekali gus menyebarluaskan kempen #SatuJari.

"Selepas kempen ini dilancarkan kita akan ke seluruh negara bersama-sama dengan rakan Rasuah Busters di setiap negeri untuk menjalankan aktiviti bersasar di organisasi dan bersama orang awam.

"Selain itu kita akan teruskan sesi-sesi wacana dan kompas Rasuah Busters dengan menemubual rakan-rakan gabungan untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengundi dan memilih calon yang tepat," katanya.