TSIS, Rasuah Busters perkukuh agenda antirasuah di lapangan

SHAH ALAM – Usaha memperkukuh agenda antirasuah dan integriti bakal diperluas daripada peringkat dasar serta penyelidikan kepada tindakan di lapangan menerusi kerjasama strategik antara Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) bersama Rasuah Busters.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada program kesedaran, kempen antirasuah serta penglibatan agensi kerajaan negeri bagi memastikan usaha membanteras rasuah tidak terhenti pada tahap kesedaran, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti TSIS, Mohd Adram Musa berkata, Rasuah Busters dipilih sebagai rakan strategik kerana mempunyai pengalaman luas melaksanakan kempen serta usaha antirasuah bersama masyarakat.
“Rasuah Busters mempunyai pengalaman di lapangan, berjumpa masyarakat dan melaksanakan kempen, manakala TSIS pula berada pada peringkat penyediaan dasar dan strategi.
“Jadi, kita boleh gabungkan kekuatan masing-masing dengan merangka strategi bersama rakan yang melaksanakan usaha tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, kerjasama itu turut membuka ruang kepada agensi kerajaan negeri untuk memainkan peranan lebih aktif dalam agenda antirasuah, bukan hanya melalui kempen kesedaran tetapi tindakan berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
Pendekatan itu penting bagi memastikan usaha membanteras rasuah dapat digerakkan pada peringkat pelaksanaan, terutama dalam kalangan agensi yang mempunyai kuasa serta tanggungjawab berkaitan.
“Di peringkat agensi kerajaan, kita bukan sekadar mahu berada pada tahap kesedaran tetapi perlu sampai kepada tahap tindakan.
“Ada peringkat kerajaan yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tertentu dan perkara ini perlu dimanfaatkan,” katanya.
Menurutnya, pertemuan berkenaan merupakan kerjasama rasmi pertama antara kedua-dua pihak selepas hubungan sebelum ini lebih tertumpu kepada perkongsian maklumat serta sokongan melalui platform media, dengan beberapa inisiatif susulan dirancang mulai November ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Norhayati Nordin berkata, kerjasama berkenaan dapat menterjemahkan hasil penyelidikan dan data kepada bentuk yang boleh dilihat serta dirasai masyarakat.
“Kita mahu melihat apa hasil data dan dasar itu diterjemahkan dalam satu bentuk yang boleh dilihat dan dirasai rakyat. TSIS merupakan pusat penyelidikan, manakala Rasuah Busters mempunyai pengalaman melaksanakan usaha antirasuah di lapangan.
“Jadi, ini peluang untuk kita menterjemahkan hasil kajian kepada tindakan yang lebih dekat dengan masyarakat serta membentuk satu sistem sokongan yang kukuh,” katanya.
Beliau menjelaskan, jaringan kerjasama itu akan diperluaskan kepada pelbagai pihak termasuk komuniti, pemegang taruh, pegawai integriti dan penjawat awam bagi membentuk jaringan lebih besar dalam usaha membanteras rasuah.
Tambahnya lagi, penglibatan pelbagai pihak dalam ekosistem berkenaan penting bagi mewujudkan sokongan bersama serta memperluaskan usaha antirasuah ke peringkat masyarakat.
“Kerjasama ini adalah peluang untuk kita bertukar pandangan, saling memperbaiki dan melihat apa lagi yang boleh kita sumbangkan kepada negara.
“Dengan perluasan jaringan ini, kita boleh membina satu jaring keselamatan untuk negara supaya lebih terlindung daripada ancaman rasuah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
