SatuJari PRU15: Rakyat tolak rasuah

Selari dengan hasrat untuk menghapuskan rasuah di negara ini, Rasuah Busters tampil dengan kempen baharu dikenali #SatuJari.

Majlis pelancaran kempen #SatuJari oleh Rasuah Buster yang diadakan di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Majlis pelancaran kempen #SatuJari oleh Rasuah Buster yang diadakan di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Selari dengan hasrat untuk menghapuskan rasuah di negara ini, Rasuah Busters tampil dengan kempen baharu dikenali #SatuJari.

Kempen tersebut merupakan inisiatif dalam menyampaikan mesej pentingnya nilai satu jari setiap pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang disifatkan paling mencabar ini bagi membawa perubahan kepada 32.7 juta rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, sejajar itu gerakan ini menggesa agar calon-calon yang bersih daripada rasuah, bertanggungjawab, sedia membela nasib rakyat, berintegriti, jujur dan bijak dipilih untuk melaksanakan mandat rakyat nanti.

Oleh itu beliau berkata, peluang yang diberikan kepada rakyat Malaysia untuk memilih calon pada PRU15 digunakan bagi memilih barisan kepimpinan berakauntabiliti dan berintegriti.

“Maka bermula akhir September 2022 yang lalu, #RasuahBusters membawakan inisiatif #SatuJari dalam menyampaikan mesej peri pentingnya nilai satu jari setiap pengundi dalam pilihan raya ke 15 ini untuk membawa perubahan kepada 32.7 juta rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ia bersempena pelancaran kempen #Satujari PRU15:Rakyat tolak rasuah yang berlangsung di Kumpulan Media Karangkraf.

Tambah Nurhayati, #SatuJari adalah simbolik jari jutaan impian rakyat Malaysia yang mengharapkan perubahan negara daripada segenap aspek.

Nilai tiap #SatuJari yang keluar mengundi akan menentukan sistem infrastruktur, pendidikan, kesihatan, kerjaya dan lain-lain kemudahan serta sistem keselamatan sosial yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya lagi, #Satu jari pengundi akan memastikan kedudukan ekonomi negara berada di kedudukan yang stabil.

“#SatuJari turut membentuk pemerkasaan demokratik belia melalui Undi 18 agar mula cakna tentang tanggungjawab dan hak kewarganegaraan yang perlu dipraktikkan dalam PRU 15 nanti.

“Ia adalah kesedaran agar rakyat tidak mudah dimanipulasi oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab, sebaliknya, mengambil peranan secara aktif mengawal risiko implikasi jangka pendek dan panjang sekiranya gagal meletakkan calon yang betul untuk menerajui pentadbiran negara,” katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi, #Satujari adalah simbol kebersamaan rakyat dan menjadi aspirasi baru pencorak sejarah Malaysia bermaruah, bebas rasuah dan teguh dengan pemilihan barisan kepimpinan yang berintegriti pada PRU 15 kelak.

Kempen dilancarkan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub.