Masa depan di tangan pengundi baharu

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

BIARPUN tarikh pengundian masih belum diketahui, di atas kertas atau ramalan kasar, BN dikatakan mempunyai peluang lebih cerah untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

Namun hakikatnya tidak semudah jangkaan. Jangan lupa, terdapat lebih enam juta pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik sejak 15 Disember 2020.

Sebanyak 20 peratus daripada angka enam juta tersebut adalah pengundi berusia 18 hingga 20 tahun, manakala 80 peratus lagi berusia lebih 21 tahun didaftarkan secara automatik susulan penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada 15 Disember 2021.

Justeru, ramai penganalisis politik berpandangan nasib dan masa depan negara Malaysia kini bergantung kepada enam juta pengundi muda dan silent voter sama ada mereka mahu memberi kemenangan kepada BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Gerakan Tanah Air (GTA).

Tidak hairanlah apabila penganalisis politik meramalkan PRU15 menjadi pilihan raya paling dramatik dalam sejarah serta mendebarkan kerana seribu satu kemungkinan boleh berlaku.

Ada juga yang meramalkan BN mengalami kekalahan jika banjir besar akibat fenomena Monsun Timur Laut benar-benar berlaku pada hari pengundian nanti. Jika terjadi, sudah pastinya membangkitkan kemarahan rakyat dan pengundi yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk undi protes.

Selain itu, isu-isu seperti skandal pembelian kapal tempur pesisir (LCS), perolehan senjata meriam Howitzer secara rundingan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kos pembelian vaksin Covid-19 juga diramalkan memberi kesan, malah mungkin dijadikan ‘modal’ untuk PH, PN dan GTA untuk menyerang BN sepanjang kempen PRU15.

Penganalisis politik juga meramalkan PH hanya boleh memenangi paling banyak 40 hingga 50 kerusi Parlimen disebabkan keyakinan dan sokongan pengundi terutama Melayu terhadap gabungan itu didakwa sudah semakin merosot.

Artikel Berkaitan:

Ini susulan kegagalan mereka menunaikan manifesto termasuk menghapuskan tol, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menurunkan harga petrol kepada RM1.50 selepas menguasai Putrajaya selepas PRU14 lalu.

Bagi GTA pula, gabungan parti baharu itu mungkin sukar menyengat pada PRU15, apatah lagi untuk menang banyak kerusi sekiranya masih bergantung penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini sudah berusia 97 tahun.

Oleh itu, tidak hairan apabila penganalisis politik meramalkan GTA mampu menang dua kerusi Parlimen sahaja dalam PRU15 iaitu Langkawi dan Jerlun yang masing-masing ditandingi Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Penganalisis sebelum ini juga meramalkan, PN tidak mampu menang lebih 112 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membolehkan mereka kembali berkuasa dan membentuk kerajaan disebabkan terlalu bergantung kepada kekuatan jentera dan penyokong parti lain terutama Pas di peringkat akar umbi.

Tambahan, sebahagian besar daripada penyandang kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terdiri daripada mereka yang melompat parti dan menang atas tiket parti lain.

Malah, Bersatu dikatakan memerlukan bantuan undi dan jentera Pas untuk mempertahankan kerusi dimenangi mereka pada PRU14 lalu selepas keluar daripada PH.

Keputusan PRN Johor dan Melaka sebelum ini juga menyaksikan Bersatu hanya menang beberapa kerusi sahaja kerana tidak mempunyai penyokong dan jentera parti yang ramai.

Tidak hairanlah jika ramai wakil rakyat Bersatu memberi bayangan mereka mungkin tidak akan mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU14 atas alasan mahu memberi laluan kepada muka baharu.

Walau apa pun yang diperkatakan, peluang kesemua parti sebenarnya masih terbuka luas dan seimbang selagi orang ramai belum menjalankan tanggungjawab untuk membuang undi pada PRU15 nanti.

Tidak kisahlah parti mana yang disokong, tetapi sebaik-baiknya pilihlah calon yang benar-benar mampu berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira parti mana sekali pun, sekiranya mahu memastikan kestabilan negara pada masa akan datang.

Umpama bola sudah berada kaki lebih 21 juta pengundi, tinggal masa untuk membuat pilihan agar dapat memastikan ekonomi negara kembali pulih seperti sediakala, dalam masa sama kebajikan rakyat terus terjamin.

* Mohd Faizul Haika Mat Khazi ialah wartawan Sinar Premium