I-Push bukan alat pancing undi: Wan Rosdy

Wan Rosdy bersama penerima I-Push selepas majlis penyampaian bantuan Skim I-Push 2022 di Dewan Bandaraya Kuantan (MBK) pada Isnin.
Wan Rosdy bersama penerima I-Push selepas majlis penyampaian bantuan Skim I-Push 2022 di Dewan Bandaraya Kuantan (MBK) pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-Push) bukan alat pancing undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya itu antara bantuan yang telah dirancang lebih awal untuk disalurkan kepada rakyat.

Tegasnya, pemilihan penerima yang layak juga dilakukan lebih awal iaitu kira-kira 6 hingga 7 bulan yang lalu dengan melalui pelbagai peringkat dan proses pemilihan.

"Kita sudah rancang daripada awal lagi, sebab ia mengambil masa dan proses hendak daftar nama. Kita mahu memastikan mereka yang menerima bantuan ini benar-benar memerlukan dan hari ini (Isnin) ia menjadi kenyataan.

“Kita boleh lihat rekod lampau kerajaan, kita sudah mulakan pada 2018 lagi. Kita bagi bantuan kepada rakyat, bantuan prihatin semasa Covid-19, banjir, Rumah Rakyat Pahang percuma. Ini kita bagi bermula pada tahun 2018 lagi. Jadi ini tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya sebab bagi kita ialah setiap masa kita pasti menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan Skim I-Push 2022 di Dewan Bandaraya Kuantan (MBK) di sini pada Isnin.

Pada majlis itu seramai 751 penerima daripada Fasa 1 Skim I-Push 2022 telah diberikan bantuan berjumlah RM7.15 juta.

Wan Rosdy menjelaskan, setiap penerima akan mendapat antara RM3,000 hingga maksimum RM10,000 seorang dengan moratorium selama setahun.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagi fasa kedua sebanyak RM12.85 juta telah diperuntukkan dan akan disalurkan kepada usahawan-usahawan Pahang yang terpilih pada tahun ini juga.

Katanya, ia dijangka dapat memberi manfaat keseluruhannya kepada 2,500 usahawan mikro yang terjejas di seluruh Pahang dengan peruntukan RM20 juta.

“Ini adalah usaha yang jelas bahawa kerajaan negeri sangat prihatin dan cakna kepada mereka terutama mereka yang terjejas akibat Covid-19 baru-baru ini.

"Bantuan ini membolehkan para usahawan mikro memulakan kembali perniagaan mereka selepas kebanyakan mereka terjejas semasa Covid-19," jelas beliau.

Wan Rosdy berharap agar kesemua penerima yang berjaya mendapat bantuan itu dapat menguruskan, mengatur dan merancang kewangan dengan baik supaya boleh memulihkan perniagaan mereka.