Pencapaian IPTS membanggakan bidang pendidikan negara

A
A
A

Sebahagian peserta yang mengikuti Program Pembangunan dan Pemantapan Kepimpinan Bersama Ketua Eksekutif IPTS (MyLeader) di Sepang, hari ini.
Sebahagian peserta yang mengikuti Program Pembangunan dan Pemantapan Kepimpinan Bersama Ketua Eksekutif IPTS (MyLeader) di Sepang, hari ini.

SEPANG - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjelaskan, sehingga 30 September 2022, taburan institusi pendidikan tinggi swasta di Malaysia adalah berjumlah 419 IPTS. Ini merupakan satu angka yang besar berbanding universiti awam di negara ini.

Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata, daripada pecahan kategori IPTS yang direkodkan adalah meliputi 54 universiti, 10 kampus cawangan universiti luar negara, 39 kolej universiti, dan 316 kolej.

Namun jelas beliau, dari segi pencapaian, kementerian berbangga apabila sembilan IPTS berjaya mengekalkan kedudukan mereka untuk tersenarai dalam ranking terbaik dunia penarafan QS World University Rankings (QS WUR) untuk tahun 2023.

"Pengekalan penyenaraian IPTS dalam kedudukan universiti terbaik dunia ini membuktikan kemampuan IPTS menjadi antara universiti terbaik di negara ini, sejajar dengan misi menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi seperti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM (PT)).

"Meskipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa penutupan IPT semasa tempoh pandemik telah memberikan kesan kepada kelestarian IPTS.

"Daripada 435 IPTS yang beroperasi pada 2021, bilangan IPTS ini telah berkurang kepada 419. Justeru saya berharap agar tahun 2022 menjadi satu titik transformasi untuk IPTS kembali cemerlang seperti biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pembangunan dan Pemantapan Kepimpinan Bersama Ketua Eksekutif IPTS (MyLeader) di sini, hari ini.

Abdul Razak ketika berucap pada majlis perasmian Program Pembangunan dan Pemantapan Kepimpinan Bersama Ketua Eksekutif IPTS (MyLeader) di Sepang, hari ini.
Abdul Razak ketika berucap pada majlis perasmian Program Pembangunan dan Pemantapan Kepimpinan Bersama Ketua Eksekutif IPTS (MyLeader) di Sepang, hari ini.

Di samping itu, Abdul Razak juga memaklumkan bahawa penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan Pemudahcara IPTS Sebagai Industri atau PEMUDAH IPTS juga salah satu usaha Kementerian membantu IPTS untuk bergerak maju serta berdaya saing.

Malah ujar beliau, Menteri KPT juga berharap supaya PEMUDAH IPTS dapat berfungsi dengan lebih berkesan untuk melaksanakan semua inisiatif yang telah dikenal pasti dengan kadar segera.

"Saya difahamkan, daripada 37 inisiatif yang dikenal pasti di bawah PEMUDAH IPTS, sebanyak 14 daripadanya telah selesai dilaksanakan oleh setiap Kumpulan Kerja Teknikal (Technical Working Group (TWG)) pada tahun 2021 dan 2022.

"Walaupun inisiatif yang telah selesai masih di tahap yang rendah, saya percaya setiap TWG sedang berusaha untuk melaksanakan semua inisiatif yang telah dikenal pasti dilaksanakan dan diselesaikan mengikut garis masa yang telah dirancang.

"Sehubungan dengan itu, penganjuran program MyLeader pada hari ini merupakan program pembangunan kapasiti khusus kepada ketua eksekutif IPTS yang bertujuan untuk memperkukuhkan program kepimpinan bagi pentadbir IPTS yang meliputi elemen integriti dan tadbir urus organisasi," katanya.

Abdul Razak juga berkongsi maklumat mengenai pelancaran Pelan Antirasuah Kementerian Pengajian Tinggi 2022-2026 pada 1 Jun lalu, di mana Pelan ini menggariskan tiga bidang keutamaan yang berkait rapat dengan perkhidmatan teras KPT iaitu: Biasiswa, Pinjaman dan Penyelidikan; Integriti dan Tadbir Urus Organisasi; dan Proses Perolehan dan Pengurusan Kewangan.

Menurutya, program MyLeader ini juga merupakan salah satu daripada aktiviti yang digariskan di bawah Pelan Antirasuah KPT.

Abdul Razak (dua dari kiri) beramah mesra dengan para peserta program MyLeader.
Abdul Razak (dua dari kiri) beramah mesra dengan para peserta program MyLeader.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr Husaini Omar dalam ucapannya berkata, Ketua Eksekutif berperanan besar dalam menerajui kepimpinan pengurusan bagi sesebuah IPTS.

Katanya, Malaysia tidak mustahil mampu menjadi hub pendidikan tinggi yang boleh dicontohi di dunia.

"Berdasarkan statistik pada 31 Disember 2021, 45 peratus pelajar antarabangsa di Malaysia berada di IPTS, oleh itu saya percaya IPTS merupakan salah satu laluan dan pemangkin utama ke arah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa.

"Selaras dengan ini, Menteri KPT telah melancarkan dua garis panduan iaitu Garis Panduan Amalan Terbaik Pengurusan Pelajar Antarabangsa Malaysia dan Garis Panduan Pelaksanaan Program Mobiliti di IPT Malaysia pada 29 September lalu, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan negara sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa," katanya.