Pelancongan Islam kunci bentuk masa depan, penyelesaian ekonomi

Nancy melihat tarian sufi dari Timur Tengah pada majlis Persidangan Pelancongan Islam Dunia Kali Ketiga yang diadakan di WTCKL.- Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Nancy melihat tarian sufi dari Timur Tengah pada majlis Persidangan Pelancongan Islam Dunia Kali Ketiga yang diadakan di WTCKL.- Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelancongan Islam dilihat kunci untuk membentuk semula masa depan industri pelancongan dan menyediakan penyelesaian ekonomi kepada negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pertumbuhan pelancongan Islam mendorong kementerian yang diterajuinya memasukkan ia sebagai salah satu strategi pemulihan ekonomi negara.

“Ia didokumenkan dalam Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030, pelan hala tuju negara untuk kemakmuran pelancongan.

“Disokong oleh strategi transformasi yang dirancang dengan teliti termasuklah pengukuhan kapasiti tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan khas, menerima pelancongan pintar, meningkatkan kecanggihan permintaan, mengamalkan pelancongan yang mampan dan bertanggungjawab serta meningkatkan kemahiran modal insan,” katanya.


Nancy Shukri
Nancy Shukri

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Pelancongan Islam Dunia Kali Ketiga (WITC) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Penasihat Syariah bagi Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Nancy berkata, sama seperti sektor pelancongan lain, pelancongan Islam memerlukan pengiktirafan dan sokongan antaranya daripada pengguna dasar, pihak berkuasa, lembaga pelancongan, pihak berkepentingan, pelabur dan media.

Artikel Berkaitan:

“Pemain industri dalam sektor awam dan swasta perlu melihat permintaan ini, belajar tentang keperluan pasaran, mengisi kekurangan dalam bentuk pelaburan, pembangunan produk dan pakej, dasar serta insentif.

“Industri pelancongan perlu dicergaskan semula dengan idea-idea baharu dan tidak kembali kepada cara lama dalam melakukan sesuatu,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Daud berpandangan, pelancongan Islam adalah masa depan dunia dan ia seharusnya tidak dihadkan kepada pengembara atau pelancong Islam semata-mata.

Mohd Daud Bakar
Mohd Daud Bakar

“Kita seharusnya membuka kepada pengembara bukan Islam. Kerana ramai penduduk dunia kekurangan pengetahuan apakah kebaikan, budaya dan tempat-tempat Islam,” ujarnya.

Mohd Daud berkata, sudah tiba masanya negara-negara Islam membuka pintu, tempat, hospitaliti dan servis-servis yang ditawarkan.

Ini kerana katanya, apabila pengembara bukan Islam mengembara, mereka akan membawa wang yang banyak dan akan membelanjakannya bagi mendapatkan kualiti yang terbaik.

“Ia akan membawa banyak pendapatan kepada negara masing-masing dan menyokong pekerjaan dengan lebih baik.

“Kita juga boleh berkongsi mesej Islam dan kualiti yang baik apa yang kita ada,” jelasnya.