Mohd Shafie sahkan Wetrom mahu sertai Warisan

Wetrom bertemu dengan Mohd Shafie dalam satu program walkabout di Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
Wetrom bertemu dengan Mohd Shafie dalam satu program walkabout di Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
A
A
A

PUTATAN - Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda berhasrat untuk menyertai Warisan.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, perkara itu akan dipertimbangkan namun dalam masa yang sama menyatakan dengan jelas bahawa Warisan sebagai parti pembangkang tidak menawarkan sebarang jawatan kepadanya.

"Dia tunjukkan hasratnya untuk sertai Warisan. Saya kata, terpulang kepada dia. Saya pun cakap tadi rakyat Sabah kena berpadu tanpa ambil kira siapa mereka. Kita parti pembangkang, kita tiada apa-apa untuk tawarkan kepada dia, bukan menteri, (tetapi) dia pembantu menteri.

"Kita tidak boleh bagi jawatan menteri tapi kalau dia pentingkan untuk kepentingan rakyat, kenapa tidak pertimbangkan penyertaan dia untuk sertai kita," katanya kepada pemberita pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Putatan di sini, pada malam Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung pertemuannya dengan Wetrom yang juga ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa keluar daripada parti pada Sabtu lalu.

Ditanya jika Wetrom akan bertanding di Parlimen Kota Marudu, Mohd Shafie sekali lagi mengatakan bahawa beliau perlu menyertai Warisan terlebih dahulu dan perkara itu akan dipertimbangkan.

"Saya katakan kepada dia, sertai kita dulu dan kita lihat calon siapa yang paling sesuai. Saya sangat teliti dan semak siapa yang berkebolehan bukan hanya sebab dia sertai kita, jika dia calon boleh menang, saya boleh pertimbangkan.

"Kita akan lihat bagaimana keadaannya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai khabar angin bahawa ada ADUN lain yang ingin menyertai Warisan, beliau tidak pasti mengenainya.

"Itu yang saya dengar tetapi saya tidak tahu. Kadang-kadang orang kata jangan percaya apa kamu dengar.

"Bila masanya tiba, kita ada jumlah yang cukup, sekarang kita ada 18 (kerusi DUN) jadi bayangkan kita blok terbesar daripada ADUN.

"Bukan Bersatu, UMNO, bukannya Parti Bersatu Sabah (PBS) atau Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), mereka hanya bergabung sama-sama dan bentuk kerajaan," katanya.