Blikra emosi tawan Alor Setar

Blikra (dua dari kiri) mengungguli Peringkat 6 LTdL dari Georgetown ke Alor Setar pada Ahad. - Foto Bernama
Blikra (dua dari kiri) mengungguli Peringkat 6 LTdL dari Georgetown ke Alor Setar pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA Uno-X Pro Cycling Team, Erlend Blikra akhirnya menjejakkan kaki di podium ‘sang juara’ apabila menjuarai Peringkat 6 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang berakhir di pekarangan Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah pada Ahad.

Kejayaan pada perlumbaan yang bermula di Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang sejauh 120.4 kilometer (km) itu, sekali gus memadam kekecewaan Blikra yang terlepas podium utama di Peringkat 1 dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada Selasa lalu.

Lebih manis, kemenangan Blikra pada perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca hujan sepanjang laluan Peringkat 6 itu dengan catatan masa 2 jam 49 minit dan 42 saat (s) menyaksikan dia berjaya menyambar gelaran sulung di pentas LTdL.

Pelumba kelahiran Norway berusia 24 tahun itu meninggalkan pakar pecut Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa dan Rudiger Selig daripada pasukan Lotto Saudal yang masing-masing berada di podium kedua dan ketiga selepas turut merakamkan catatan masa sama.

“Bagi saya, ia satu kemenangan yang cukup hebat dan mengagumkan pada perlumbaan dalam cuaca hujan. Segala-galanya menjadi seperti mana yang dirancang sejak awal perlumbaan.

“Saya lihat ada pelumba seperti sudah keletihan, jadi saya ambil peluang pada penghujung perlumbaan untuk memecut sehingga ke garisan penamat. Saya gembira akhirnya meraih kemenangan di sini.

Blikra (depan) meraih gelaran sulung LTdL. - Foto Bernama
Blikra (depan) meraih gelaran sulung LTdL. - Foto Bernama

“Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang bekerja keras untuk memastikan saya sentiasa berada di kelompok hadapan. Tanpa mereka, mungkin agak sukar untuk saya muncul juara kali ini,” katanya kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan.

Artikel Berkaitan:

Hasil kejayaan menjuarai Peringkat 6, Blikra kini tampil sebagai pemilik baharu Jersi Hijau (Raja Pecut) apabila merekodkan 40 mata - satu mata meninggalkan pencabar terdekatnya, Syritsa yang memenangi perlumbaan Peringkat 1.

“Saya agak beremosi dengan kejayaan ini kerana ia merupakan kemenangan pertama pada perlumbaan LTdL. Sekali lagi saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan,” ujar Blikra yang menduduki tempat kedua di Peringkat 1.

Sementara itu, seperti diramal, Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan masih kekal milik pelumba Movistar Team, Ivan Ramiro Sosa yang mengumpul catatan masa keseluruhan 21:06.03s bagi meninggalkan pencabar terdekatnya, Hugh Jihn Carthy (EF Education-Eastpost) dengan perbezaan 0.23s.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dan Jersi Merah (Raja Bukit) turut kekal milik dua pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) - Jambaijamts Sainbayar dan Muhammad Nur Aiman Zariff.

LTdL 2022 akan beralih ‘menggegar’ Pulau Langkawi selama dua hari bermula Isnin apabila Peringkat 7 menyingkap tirai dari Kuah ke Gunung Raya melibatkan laluan sejauh 90.8km yang menyajikan tiga zon pecutan (Telaga Harbour, Teluk Yu dan Kuah) dan dua zon pendakian (Lebuhraya Langkawi dan Gunung Raya).