Ujian buat 10 pelumba menjelang LTdL 2023

Izzat Hilmi (dua dari kiri) antara pelumba yang disenarai pendek menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Malaysia menjelang LTdL 2023 bulan depan.
Izzat Hilmi (dua dari kiri) antara pelumba yang disenarai pendek menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Malaysia menjelang LTdL 2023 bulan depan.
A
A
A

SERAMAI 10 pelumba telah disenarai pendek untuk menjalani kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang bakal berlangsung dari 23 hingga 30 September depan.

Ketua jurulatih skuad berbasikal negara, Mohd Yusof Nasir berkata, kesemua pelumba terbabit telah dikumpulkan selepas berakhirnya Kejohanan Kebangsaan 2023 di Melaka pada penghujung Julai lalu.

“Jika diikutkan sesi latihan ini telah bermula kira-kira dua minggu lalu sebaik Kejohanan Kebangsaan tamat. Sudah tentu prestasi pada Kejohanan Kebangsaan itu diambil kira pada sesi pemilihan kali ini.

“Jadi dalam masa beberapa minggu ini menjelang bermula LTdL nanti, saya akan terus menilai prestasi setiap pelumba. Buat masa ini, kesemua pelumba terlibat telah memberikan komitmen yang cukup baik.

“Berdasarkan pemerhatian saya, mereka memberikan persembahan 100 peratus setiap kali turun menjalani latihan. Bagi saya... ini satu persaingan yang sihat sebelum enam pelumba dipilih nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Izzat Hilmi Abdul Halil mengetuai senarai selain empat bekas pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhamad Zawawi Azman, Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Nur Aiman Rusli dan Muhammad Shaiful Adlan Shukri.

Seorang lagi pelumba ATM, Muhamad Afiq Huznie Othman turut disenaraikan selain dua pelumba Akademi Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Haizam Shabri serta Saniy Syahmi Mohd Shafiee; Ariff Danial Rosedi dari Perak dan Zulhelmi Zainal (MSN).

“Melihatkan laluan perlumbaan LTdL tahun ini, saya merancang untuk memberi tumpuan kepada climber dan dalam senarai ketika ini, saya memiliki sekurang-kurangnya empat climber.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin ikut percaturan, dua lagi pelumba all rounder atau sprinter. Apapun saya belum membuat keputusan muktamad kerana mahu menilai lagi prestasi kesemua pelumba terlibat,” ujar Yusof.

MOHD YUSOF
MOHD YUSOF

Pada masa sama, Yusof berkata, beliau merancang untuk ‘membawa’ anak-anak buahnya menjalani latihan di salah satu laluan LTdL 2023 - Slim River, Perak ke Genting Highlands yang melibatkan jarak sejauh 133.3 kilometer (km).

“Sebelum ini kami sudah menjalani latihan dari Jeli, Kelantan ke Baling, Kedah yang juga laluan LTdL 2023. Saya mahu setiap pelumba mendapat gambaran awal laluan perlumbaan di sana.

“Saya harap kami dapat membuat persiapan yang secukupnya termasuk pelumba-pelumba ini akan diuji apabila mereka menyertai Tour Gateh D’Tranung pada 4 hingga 8 September ini,” jelasnya.