Pemborong telur kenakan caj tidak munasabah disiasat

Caj pengendalian sebanyak 60 sen dikenakan ke atas peruncit bagi sepapan telur yang dijual.
Caj pengendalian sebanyak 60 sen dikenakan ke atas peruncit bagi sepapan telur yang dijual.
A
A
A

KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memeriksa sebuah premis pemborong telur ayam di Klang yang didakwa mengenakan caj tidak munasabah kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, premis tersebut dikesan mengenakan caj pengendalian 60 sen bagi sepapan telur ayam gred A dan B kepada pembeli terdiri peruncit.

Menurutnya, pengusaha premis tersebut telah diberikan notis bertulis dan perlu mengemukakan penjelasan berhubung perkara itu sebelum 21 Oktober depan.

"Notis bertulis dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan perlu memberi maklum balas mengikut tempoh ditetapkan.

"Premis berkenaan boleh dikenakan tindakan Seksyen 21 AKHAP 2011 yang membawa hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya jika gagal mematuhi notis tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, KPDNHEP Selangor mengingatkan peniaga tidak mengenakan sebarang caj tambahan ke atas telur dan ayam yang masih di bawah barangan harga maksimum.

Penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas premis berkenaan selepas menerima aduan berhubung caj pengendalian tersebut.
Penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas premis berkenaan selepas menerima aduan berhubung caj pengendalian tersebut.

Beberapa hari lalu tular di media sosial berhubung caj pengendalian jualan telur ayam gred AA sebanyak 60 sen.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada itu, seramai tiga penguat kuasa dari unit antipencatutan KPDNHEP Selangor telah ke lokasi bagi menjalankan siasatan pada Ahad.

Mohd Khairi berkata, premis tersebut menjual telur ayam pelbagai gred kepada peruncit sahaja dan tiada urus niaga terus kepada pengguna.

Ujarnya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan mematuhi penandaan tanda harga jualan bagi setiap barangan (telur ayam pelbagai gred) yang dijual.

Katanya, bekalan telur diperoleh daripada pengeluar atau pembekal ayam dari Melaka.

"Berhubung pembekal atau pengeluar telur ayam di Melaka pula, KPDNHEP Selangor telah membuat tindakan atau siasatan susulan dengan kerjasama KPDNHEP Melaka untuk memberikan notis kepada pembekal tersebut," katanya.