[VIDEO] 'Kita akan beri tempat sesuai untuk KJ' - Tok Mat

Khairy kelihatan berbincang sesuatu dengan Mohamad selepas selesai Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau pada Sabtu.
Khairy kelihatan berbincang sesuatu dengan Mohamad selepas selesai Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan diberikan tempat yang sesuai untuk mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohamad berkata, ia berikutan Khairy merupakan pemimpin muda yang berkaliber dan baik untuk negara.

"Kita tidak mahu bakat beliau itu hilang begitu sahaja, kita cuba cari tempat sesuai untuk beliau bertanding pada PRU15.

"Alhamdulillah, itu semangat kekeluargaan di Rembau ini... kami ini beradat. Jadi kita beradat dalam terang. Kita pastikan supaya jentera di Rembau ini akan dipertingkatkan, jadi tak ada isu kerusi Rembau lagi. Insya-ALLAH," katanya.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan penggulungan Khairy yang memberi laluan kepada beliau untuk bertanding di Parlimen Rembau semasa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau yang dihadiri oleh 860 perwakilan di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan berlainan, Timbalan Pengerusi BN itu berkata, kawasan yang ditandingi BN kalah tipis pada PRU14 perlu diberikan tumpuan lebih oleh kepimpinan parti komponen gabungan itu di kawasan tersebut pada PRU15 ini.

"Kekalahan itu disebabkan oleh beberapa perkara dan kebanyakannya adalah isu-isu tempatan. Ia perlu diselesaikan segera supaya kita tidak lagi mengulangi kesilapan pada PRU14 yang dahulu," katanya.

Sementara itu, Mohamad turut menegaskan BN perlu menang di 112 kerusi Parlimen untuk menubuhkan kerajaan pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, pembahagian kerusi dalam parti-parti komponen BN belum lagi diputuskan setakat ini, namun pihak sekretariat akan berjumpa dengan kepimpinan parti komponen daripada MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) supaya pembahagian kerusi dapat dibuat dengan sebaik yang mungkin.

"Kita kena melepasi 112 kerusi untuk kita tubuhkan kerajaan pada pilihan raya akan datang. Itu sasaran kita, kalau kita boleh menang banyak, lagi baik," katanya.

Menurutnya, Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu mengemaskini kajian sikap pengundi di cawangan masing-masing yang akan sentiasa berubah mengikut perkembangan isu semasa.

"PDM perlu diberikan tumpuan, kajian sikap mesti dikemaskini semula, saya minta cawangan lakukan 'dry run'.

"Sikap pengundi berubah mengikut keadaan dan mengikut isu semasa... kalau boleh, (PDM perlu buat dry run) sebelum tarikh penamaan calon dan selepas penamaan calon," katanya.