Perkasa bantuan kepada golongan asnaf

Rusydee (dua dari kiri) menunjukkan bantuan makanan asas menerusi Baloh Asnaf MIBT.
Rusydee (dua dari kiri) menunjukkan bantuan makanan asas menerusi Baloh Asnaf MIBT.
A
A
A

TUMPAT - Masjid Ismaili Bandar Tumpat (MIBT) di sini mengambil langkah memperkasakan kaedah saluran bantuan kepada asnaf secara segera menerusi penubuhan Baloh Asnaf MIBT pada Sabtu.

Imam Tua MIBT, Fathul Hakim Kamarul Zaman berkata, inisiatif tersebut dicetuskan oleh Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk MIBT.

“Seramai 20 asnaf terpilih menerima sumbangan Baloh Asnaf daripada pihak MIBT semasa pelancaran.

“Nama Baloh Asnaf tersebut merupakan ilham Rusydee sendiri kerana baloh sinonim dengan masyarakat Kelantan dahulu yang menjadi tempat menyimpan padi setelah dituai,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Pelancaran Baloh Asnaf MIBT dilakukan oleh Rusydee dan dihadiri Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner, Amran Dollah.

Menurut Fathul Hakim, Baloh Asnaf membolehkan pihak masjid membantu fakir dengan segera melalui pemberian sembilan jenis keperluan asas makanan seperti beras, minyak masak, gula dan gandum.

“Waktu Baloh Asnaf MIBT operasi ialah pada Ahad hingga Khamis, 9 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.30 petang hingga 3.30 petang. Warga Tumpat yang memerlukan bantuan boleh hadir ke masjid,” katanya.

Pihak MIBT juga mengalu-alukan sumbangan derma kepada Baloh Asnaf melalui Tetuan AJK Kerja Masjid Ismaili Bandar Tumpat, Bank Islam Malaysia Berhad 03148010009689 atau hadir ke pejabat MIBT.

Artikel Berkaitan: