UMNO Padang Terap lulus usul sokong Ismail Sabri PM ke-10

Mahdzir ketika berucap sebelum Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap pada Sabtu.
Mahdzir ketika berucap sebelum Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap pada Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - UMNO Bahagian Padang Terap meluluskan usul tanpa berbelah bahagi untuk terus menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-10.

Ketuanya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO bahagian itu juga meluluskan usul memberi kepercayaan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan parti menyusun strategi memperkukuhkan UMNO.

Menurutnya, kata sepakat itu dengan ketetapan yang dibuat menandakan keyakinan teguh seluruh kepimpinan Bahagian Padang Terap untuk melihat UMNO terus diperkukuhkan.

"Alhamdulillah, kepimpinan dan seluruh ahli UMNO Padang Terap mencapai kata putus itu selaras dengan situasi semasa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Ahad.

Jelas Mahdzir, UMNO Bahagian Padang Terap juga meluluskan usul bertegas dalam menangkis sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang boleh mengundang campur tangan asing dalam hal ehwal negara ini.

"UMNO Padang Terap berpandangan walau apa jua bentuk dan alasan sekalipun, kita tidak boleh membiarkan campur tangan asing dalam urusan negara kerana kita mampu membentuk negara kita berdasarkan acuan dan hala tuju kita sendiri," katanya.

Selain itu, UMNO Padang Terap juga meluluskan usul memerangi sebarang bentuk penyebaran dan dakyah yang tidak bertanggungjawab serta penyalahgunaan media sosial, cetak dan elektronik sebagai medan penyebar fitnah, propaganda dan adu domba.

Turut diluluskan, usul supaya bersiap siaga menghadapi PRU15 dengan penuh iltizam, cekal dan sehati sejiwa tanpa sebarang prasangka di semua peringkat kepimpinan dan ahli sama ada di pusat, negeri, bahagian dan cawangan.

Artikel Berkaitan:

"Berpaksikan kebenaran, kesungguhan serta kejujuran dalam memperjuang dan membela rakyat, persidangan UMNO Bahagian Padang Terap pada kali ini mengambil ketetapan menyokong penuh gandingan kepimpinan utama negara dan parti di bawah satu bumbung Keluarga Malaysia," kata Mahdzir.