8 UMNO Bahagian sokong Ismail Sabri PM ke-10

Hasni, Jalaluddin
Hasni, Jalaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya lapan UMNO Bahagian setakat malam Sabtu mengetengahkan usul untuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-10 seandainya BN menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Di JOHOR, Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, usul tersebut adalah salah satu daripada tiga yang diputuskan pada Mesyuarat UMNO Bahagian di Dewan UMNO Pontian pada Sabtu yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

"UMNO Pontian bersetuju mengusulkan supaya Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO diangkat sebagai Perdana Menteri jika BN menang PRU15 nanti.

"Jaminan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah lebih sesuai dan tepat berbanding hanya sebagai poster boy BN," katanya.

Media pada 18 September lalu melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN mengesahkan Ismail Sabri kekal sebagai poster boy calon Perdana Menteri BN pada PRU15.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO dan BN Johor berkata, dua lagi usul yang dikemukakan UMNO Bahagian Pontian ialah menyokong siapa jua calon diputuskan pucuk pimpinan dan solidariti ahli parti.

Di NEGERI SEMBILAN, Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengesahkan bahagian tersebut mahukan Ismail Sabri kekal memimpin negara.

"Sokongan itu diputuskan dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Jelebu yang diadakan di Kompleks UMNO Jelebu tengah hari tadi (Sabtu).

Artikel Berkaitan:

Keputusan ini senada dengan mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO yang sebelum itu membuat ketetapan mengenai perkara berkenaan.

"Keputusan memilih Ismail Sabri adalah kesinambungan daripada apa yang diputuskan dalam mesyuarat MKT yang sudah membuat keputusan sebelum ini.

"Ini keputusan parti yang kemudian disambut oleh akar umbi dalam kita membuat satu kemuafakatan demi kebaikan UMNO bagi menghadapi PRU kali ini," kata Ahli MKT UMNO itu.

Di MELAKA, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman berkata, usul nama Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-10 adalah sejajar dengan keputusan MKT parti itu sebelum ini.

Jelasnya, keputusan itu dipersetujui kira-kira 640 perwakilan yang hadir.

Beliau berkata, kepemimpinan UMNO bahagian sepakat untuk menyokong keputusan MKT sebagai langkah untuk memastikan perpaduan parti sentiasa terpelihara.

"Kami juga mengemukakan usul menyokong siapa sahaja calon yang dinamakan oleh pucuk kepemimpinan BN di kerusi Parlimen Alor Gajah pada PRU15.

"Yang penting UMNO Alor Gajah memastikan BN kembali merampas kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU lalu," katanya selepas perasmian mesyuarat yang disempurnakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Di KELANTAN, UMNO Bahagian Ketereh tetap mahukan Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri ke-10.

Sokongan itu adalah salah satu daripada lima usul MKT yang dipersetujui pada Mesyuarat UMNO Bahagian tersebut.

Bahagian berkenaan juga menyokong usaha kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang mengutamakan usaha transformasi kerajaan, khususnya transformasi Parlimen, peralihan ke fasa endemik, pemulihan ekonomi negara, menangani inflasi dan kos sara hidup rakyat, membela nasib rakyat serta mengekalkan keamanan dan perpaduan Keluarga Malaysia.

Empat lagi UMNO Bahagian menyatakan usul serupa mengekalkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-10 iaitu Machang (Kelantan) dan Tenggara, Parit Sulong serta Tebrau dari Johor.