Sahabat hingga hujung nyawa

Mohamad (kanan) mengangkat mayat anaknya yang tiba di bilik mayat Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat. Gambar kecil (dari kiri): Muhammad Nur Aqashah Danial dan Mohamad Azizi
Mohamad (kanan) mengangkat mayat anaknya yang tiba di bilik mayat Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat. Gambar kecil (dari kiri): Muhammad Nur Aqashah Danial dan Mohamad Azizi
A
A
A

MACHANG - Keakraban dua sahabat berakhir hingga hujung nyawa apabila mereka maut dalam kemalangan motosikal dengan sebuah lori di Kilometer 28.5 di persimpangan Kuari Pusat Bukit Buloh, Pulai Chondong, di sini pada Sabtu.

Kejadian berlaku pada jam 12.07 tengah hari itu mengorbankan penunggang motosikal, Mohamad Azizi Mohamad, 19, (penyelia keselamatan) dan pembonceng, juga kawan karibnya, Muhammad Nur Aqashah Danial Muhammad, 16, iaitu pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Machang di lokasi kejadian.

Bapa Mohamad Azizi, Mohamad Zakaria, 47, berkata, anak ketiga daripada 10 beradik itu sempat bergurau dengannya ketika meminta izin keluar dari rumah mereka di Taman Desa Ariff, Machang bertujuan mencari rumah sewa untuk keluarga di sekitar daerah itu.

“Masa dia nak keluar tadi, dia bergurau dengan saya, tanya dia kacak atau tidak. Saya hanya mengangguk mengiyakannya sambil tersenyum.

“Tak lama lepas itu, jiran sekampung datang memberitahu dia kemalangan. Hingga kini, saya masih tertanya-tanya betulkah saya sudah kehilangan dia buat selama-lamanya,” luah Mohamad sebak ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Machang di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, suasana hiba menyelubungi pekarangan bilik mayat tersebut apabila kakak kepada Muhammad Nur Aqashah Danial menangis teresak-esak menerima perkhabaran duka menimpa anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Bapa mereka, Muhammad Hassan, 53, berkata, Muhammad Nur Aqashah Danial dan kakaknya itu sepatutnya berniaga air kelapa di bandar Machang pada hari Sabtu.

“Muhammad Nur Aqashah Danial beria-ria hendak berniaga pada hari ini, tetapi kakaknya meminta mereka bercuti.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu, kakaknya sedikit ralat dan kerap menyebut kalau berniaga sudah tentu tidak berlaku seperti ini, bagaimanapun kami memujuknya supaya reda menerima ketentuan takdir,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Mohd Zahir Abdullah berkata, dua mangsa terbabit menaiki sebuah motosikal jenis NAZA dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Bharu manakala lori jenis Hicom dipandu dari arah simpang Pulai Chondong.

“Apabila lori itu tiba di tempat kejadian dan menyeberang jalan ke simpang Kuari Pusat Bukit Buloh, motosikal dinaiki dua mangsa dipercayai merempuh bahagian sisi sebelah kanan lori.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak jatuh di atas jalan. Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Pemandu lori lelaki berusia 39 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan, manakala keputusan urinnya negatif dadah.

Beliau berkata, punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian pemandu lori, namun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.