Musuh BN akan sentiasa hasut, perdaya: Ahmad Zahid

Kenyataan Ahmad Zahid pada Jumaat.
Kenyataan Ahmad Zahid pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa parti lawan akan sentiasa menghasut dan memperdaya fikiran rakyat demi memburukkan gabungannya meskipun telah ada penjelasan tentang tohmahan yang dilemparkan itu.

Beliau berkata, tindakan tersebut pernah dilakukan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan taktik tersebut akan diulangi kembali menjelang pilihan raya akan datang ini.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, antara serangan yang dilihat jelas dilakukan pihak berkenaan adalah seperti putar belit terhadap ucapannya ketika Perhimpunan MIC lepas.

“Ucapan saya pada Perhimpunan MIC diputar belit. Ucapan diambil sekerat-sekerat dijadikan bahan fitnah.

“Intipati sebenar ucapan saya pemimpin BN berisiko dikenakan pendakwaan politik jika lawan BN menang PRU15.

“Walaupun terdapat rakaman video ucapan dalam konteks sebenar, mereka tetap meneruskan putar belit,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau juga mengulas bahawa pihak lawan memburukkan BN dengan menyatakan bahawa gabungan itu merupakan penyebab PRU15 dijalankan dalam satu jangkaan musim banjir.

“Jabatan Meteorologi Malaysia juga menafikan dakwaan pasti berlaku banjir besar pada penghujung November.

Artikel Berkaitan:

“Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selari dengan pandangan ramai pihak PRU15 boleh diadakan sebelum musim tengkujuh diramal aktif.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil kira Monsun Timur Lyang diramal bermula pertengahan November,” ujar beliau.

Ahmad Zahid mengingatkan kepada rakyat supaya sentiasa berhati-hati dengan hasutan musuh gabungan itu agar tidak menanggung implikasi yang buruk suatu masa nanti.

“Menelaah kebenaran mungkin mengambil sedikit masa, namun mustahak demi ‘pisang tidak berbuah dua kali’. Kaji dan teliti sebelum menghadamnya.

“Yang menanggung implikasinya adalah rakyat dan negara seperti apa yang kita saksikan sejak 9 Mei 2018,” tambahnya.