Kerajaan kukuh, stabil hadiah bermakna Deepavali: Ahmad Zahid

Tangkap layar kenyataan dimuat naik Ahmad Zahid di laman Facebooknya.
Tangkap layar kenyataan dimuat naik Ahmad Zahid di laman Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pembentukan kerajaan yang kukuh dan stabil pasti menjadi hadiah yang amat bermakna sempena Deepavali selepas beberapa tahun negara berdepan ketidakstabilan politik serta ekonomi.

Ahmad Zahid berkata, perayaan Deepavali tahun ini akan menjadi perayaan yang sangat bererti kepada penganut agama Hindu di Malaysia apabila sebuah kerajaan dominan dapat dibentuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Menurutnya, usah terpengaruh dengan hasutan dan tohmahan pembangkang kononnya pelaksanaan PRU15 tidak menghiraukan dan tidak menghormati sentimen serta kepentingan masyarakat India.

"Perbuatan pembangkang menjadikan perayaan Deepavali sebagai bahan kempen politik sangat tidak bertanggungjawab kerana perayaan seharusnya menyatukan rakyat bukannya memecahbelahkan semangat perpaduan dan persaudaraan.

"Sedangkan perayaan Deepavali itu sendiri cahaya yang membawa maksud semangat kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman, keresahan mengatasi kebahagiaan dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan PRU15 yang dijangka diadakan lebih awal disifatkan tidak menghormati sambutan perayaan kaum terutama perayaan Deepavali yang akan disambut tidak lama lagi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, jika Parlimen dibubarkan pada bulan ini, bermakna PRU15 akan diadakan ketika masyarakat India hendak menyambut Deepavali.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pembentukan kerajaan yang kukuh dan stabil akan menjamin kecekapan, keberkesanan dan kemampuan pentadbiran negara dalam membantu segenap lapisan masyarakat termasuk kaum India.

Artikel Berkaitan:

"Ini sekali gus membawa Malaysia keluar daripada kekusutan politik yang tidak berkesudahan sejak PRU-14 berakhir pada 9 Mei 2018," ujarnya.