Prosiding SM Faisal cederakan Emilia tangguh

SM Faisal hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat bagi prosiding kes mencederakan bekas isterinya, Emilia Hanafi tujuh tahun lalu.
SM Faisal hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat bagi prosiding kes mencederakan bekas isterinya, Emilia Hanafi tujuh tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin yang didakwa mencederaan bekas isterinya, Emilia Hanafi ditangguhkan ke 31 Oktober ini selepas saksi pendakwaan pertama iaitu anak lelaki pasangan itu tidak hadir ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Majistret Nadia Othman menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa saksi yang berusia 16 tahun sedang menjalani peperiksaan di sekolah antarabangsa selama sebulan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin berkata, bagi mengelak pembelajarannya terganggu, pembelaan akan memanggil saksi lain yang juga adik Emilia iaitu Elisa Nani Hanafi.

“Kami tidak dapat memanggil saksi pertama kerana dia sedang menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal berkata, mereka telah bersedia dalam prosiding, dengan mahkamah akan memanggil anak pasangan itu untuk memberi keterangan.

Ketidakhadiran saksi itu katanya, menyebabkan pendakwaan terpaksa memanggil saksi lain.

Bagaimanapun, Akberdin berkata, sehingga kini, mereka belum menerima pernyataan saksi baharu tersebut.

“Kalau boleh, pendakwaan dapat beri salinan pernyataan saksi lebih awal. Jika tidak dapat penuhi 14 hari sebelum prosiding memadai dengan tiga atau empat hari sebelum perbicaraan diteruskan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kemudiannya memaklumkan bahawa mereka mengambil maklum dan akan menyerahkan salinan itu sebelum prosiding dijalankan.

Sebelum ini, SM Faisal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia yang merupakan isterinya di sebuah rumah di Jalan Kiara 3, Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2002 sebelum bercerai 2016 manakala hak penjagaan terhadap tiga anak mereka diberikan sepenuhnya kepada Emilia.

Pada 27 Jun lalu, Emilia menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan komital kerana ingkar perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.

Dalam kes ini, SM Faisal diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader manakala dua peguam pemerhati iaitu Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Nazri Yahya bagi pihak Emilia.