BN yakin tambah kerusi DUN Pahang

Wan Rosdy pada sidang akhbar khas di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Wan Rosdy pada sidang akhbar khas di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - BN yakin mampu menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berdasarkan prestasi semasa kerajaan negeri yang ditadbir parti itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia berdasarkan prestasi BN dan imej kerajaan Pahang selama 53 bulan yang cemerlang.

"Saya mendapati banyak perkara yang rakyat boleh lihat apa yang kerajaan Pahang buat dan laksana termasuk bagaimana kerajaan Pahang berusaha bersungguh untuk membantu mangsa banjir.

"Sekarang ini kita telah memperuntukkan bantuan pasca banjir sebanyak RM47 juta sebagai persediaan awal untuk meminimakan permasalahan semasa kita hadapi musim banjir," katanya ketika sidang akhbar khas di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, persaingan dalam PRU15 tidak boleh diambil mudah, sebaliknya BN sentiasa bersedia menghadapi pelbagai ancaman daripada pihak tidak sehaluan.

Menurutnya, BN telah memulakan gerak kerja dari awal, bukan menunggu di saat hampir pembubaran pilihan raya untuk bekerja.

"Kita boleh lihat melalui rekod lampau seperti mana saya nyatakan tadi terutamanya dari segi prestasi kutipan hasil kerajaan negeri, yang kedua dari segi bagaimana kita mengurangkan hutang kerajaan negeri.

"Kalau kita tidak bekerja dari awal mana mungkin hutang kerajaan Pahang daripada RM33 bilion dapat dikurangkan sehingga RM 950 juta.

Artikel Berkaitan:

"Bila kita tidak membuat kerja di saat akhir apabila DUN bubar, mana mungkin kita boleh meningkatkan hasil dengan kata lain, sebaik sahaja beri mandat, kerajaan Pahang ditunjangi BN akan berikan lebih baik kepada rakyat sekiranya mendapat mandat baharu, Insya-ALLAH," jelas beliau.

Beliau turut memberitahu, BN Pahang akan menampilkan calon muka baharu dan lama pada PRU15 pada kali ini.

"Sejak kita adakan pilihan raya pastinya ada muka baharu dan muka lama. Ini adalah tradisi biasa.

"Tidak pernah lagi di Pahang dalam penggal sebelum ini dan bila bubar sahaja DUN, orang sama sahaja dilantik dan ini tidak pernah berlaku setakat ini," katanya

Pada Jumaat, Wan Rosdy mengumumkan pembubaran DUN Pahang selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pembubaran itu bagi membolehkan PRU15 diadakan secara serentak Parlimen yang dibubarkan Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu.

Pahang ditadbir BN selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 menyaksikan BN menang 25 daripada 42 DUN, manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan Pas (lapan).