Kegiatan lori ulang-alik isi diesel terbongkar

Sebuah lori yang dipercayai menjalankan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Sebuah lori yang dipercayai menjalankan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan mencurigakan beberapa buah lori mengisi minyak berulang kali di sebuah stesen minyak membongkar aktiviti penyelewengan diesel di stesen minyak di Batu 6, Jalan Puchong di sini pada Rabu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, kegiatan tersebut terbongkar menerusi serbuan dijalankan pihaknya kira-kira jam 4.10 petang.

Menurutnya, maklumat awal mendapati beberapa buah lori berkanvas serta bonded membuat pembelian diesel bersubsidi di stesen minyak berkenaan secara berulang kali pada sesuatu masa.

"Hasil daripada risikan selama dua minggu mendapati beberapa buah lori terbabit telah diubah suai untuk membuat pembelian minyak diesel seawal jam 8 pagi sehingga jam 11.30 malam pada setiap hari kecuali pada hari Ahad.

"Beberapa buah lori terbabit akan membuat pembelian diesel bersubsidi secara bergilir-gilir dan pembelian berulang pada setiap hari di stesen minyak berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, setiap lori dikenal pasti membuat pembelian sebanyak 4,000 liter diesel sehari dengan nilai RM8,600.

"Pembayaran akan dilakukan secara tunai pada sebelah malam sebelum stesen minyak ditutup bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

"Bekalan minyak diesel ini akan dihantar oleh pihak sindiket ke sebuah stor haram yang terletak di luar kawasan Kuala Lumpur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan terdapat dua buah lori yang diubah suai di stesen minyak berkenaan sedang membuat pengisian diesel bersubsidi dalam kuantiti yang agak besar.

"Pemeriksaan dijalankan ke atas kedua buah lori terbabit dan telah menyita minyak diesel sebanyak 4,000 liter iaitu dianggarkan bernilai RM8,600 selain menahan dua pemandu lori berumur 23 dan 32 tahun untuk tindakan lanjut.

"Selain itu turut disita melibatkan dokumen, resit jualan diesel dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang melibatkan stesen minyak berkenaan.

"Jumlah keseluruhan sitaan bagi operasi ini dianggarkan bernilai RM68,800," katanya.

Ujar Nurul Syarina, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.