Isi diesel dalam tong, dua lelaki dicekup disyaki seleweng

Pegawai KPDN Perak menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan disyaki terbabit penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Taiping. - Foto ihsan KPDN Perak
Pegawai KPDN Perak menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan disyaki terbabit penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Taiping. - Foto ihsan KPDN Perak
A
A
A

TAIPING - Dua lelaki ditahan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak selepas disyaki menyeleweng 1,320 liter minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Jalan Kampung Dew, Simpang di sini pada Rabu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, lelaki warga tempatan berusia 36 dan 48 tahun itu ditahan sekitar jam 6.15 pagi ketika mengisi minyak ke dalam tujuh tong disediakan di atas dua kenderaan pacuan empat roda.

"Modus operandi sindiket kali ini membeli minyak diesel di stesen minyak dan mengisinya ke dalam beberapa tong drum yang ditutup dengan kain kanvas di atas kenderaan tersebut bagi mengaburi kegiatan mereka.

"Berdasarkan intipan, sebanyak 200 liter dibeli bagi setiap tong drum dan sindiket mengulangi transaksi pembelian secara berterusan.

"Pembelian ini dipercayai adalah untuk kegunaan jentera berat mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut beliau, ketika serbuan, kedua-dua pemandu terbabit gagal menunjukkan kebenaran bertulis atau permit khas yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia bagi membeli minyak diesel di stesen minyak.

"Pasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Taiping telah mengambil tindakan menyita dua kenderaan terbabit bersama minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM108,838.

"Stesen minyak yang terlibat juga disiasat kerana disyaki bersubahat membenarkan pembelian minyak diesel selain tangki asal kenderaan oleh individu atau syarikat yang tidak mempunyai permit khas barang kawalan," katanya.

Kamalludin berkata, kes akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.