Jho Low beritahu pasal 1MDB dua tahun sebelum ditubuhkan

Jho Low
Jho Low
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah memaklumkan AmBank bahawa pasukannya sedang berusaha menubuhkan dana kekayaan negara (sebelum 1Malaysia Development Berhad) untuk mengumpul dana bagi membangunkan negeri Terengganu, dua tahun sebelum ia ditubuhkan secara rasmi.

Joanna Yu Ging Ping, 51, bekas pengurus perhubungan di bank itu berkata, beliau telah diperkenalkan kepada Jho Low, Tan Vern Tact dan Nik Faisal Ariff Kamil oleh ketua pasukannya ketika itu, Chan Wan Seong pada 2007.

Pada mulanya ditubuhkan pada 2009 sebagai entiti milik kerajaan negeri Terengganu, Terengganu Investment Authority (TIA) dan kemudiannya dinamakan semula sebagai 1MDB.

Ketika menjelaskan pengenalannya kepada Jho Low, Yu berkata, beliau mengenali ahli perniagaan itu apabila ditugaskan oleh Wan Seong untuk mengendalikan pinjaman Majestic Masterpiece Sdn Bhd pada 2007.

"Syarikat ini sedang meninjau untuk mengambil alih saham dua syarikat lain, iaitu Loh & Loh Corporation Berhad dan Putrajaya Perdana Berhad. Majestic Masterpiece dimiliki oleh Wynton Private Equity Group dan Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corporation. Jho Low adalah antara pengarah Wynton Private Equity Group.

"Tidak lama selepas pinjaman Majestic Masterpiece diluluskan oleh bank dan pengambilalihan entitinya selesai, Jho Low memaklumkan kepada bank bahawa pasukannya sedang meninjau untuk menubuhkan dana kekayaan negara bagi mengumpul dana untuk membangunkan negeri Terengganu," katanya.

Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan RM2.3 bilion dana milik 1MDB.



Joanna Yu berkata, beliau kemudiannya menghadiri mesyuarat dengan Jho Low dan beberapa yang lain pada 2009 untuk penerbitan bon berkaitan.



Mereka yang menghadiri mesyuarat itu ialah Casey Tang dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, beberapa pegawai AmBank seperti Wan Seong serta beberapa pegawai bahagian pasaran modal hutang bank itu.
Artikel Berkaitan:


Casey kemudiannya akan menjadi pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB manakala Shahrol Azral akan menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) dana itu.

"Dalam pertemuan ini, Jho Low dan Casey mengemukakan banyak soalan dan bertanya tentang isu biasa membabitkan penerbitan bon, struktur dan garis masa untuk terbitan. Kami pada mulanya diminta memberikan cadangan untuk terbitan bon RM10 bilion dengan tempoh 30 tahun.

"Rakan-rakan saya dari bahagian Perbendaharaan dan Pasaran Modal Hutang memberitahu bahawa mungkin tidak cukup pelabur untuk saiz RM10 bilion dan tempoh bon selama 30 tahun di Malaysia juga tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Terdapat beberapa cadangan yang dibincangkan, antaranya mendapatkan jaminan kerajaan untuk bon, mengurangkan saiz terbitan bon, dan juga memendekkan tempoh bon. Selepas pertemuan ini, terdapat beberapa perbincangan lain.

"Akhirnya pelanggan (TIA) bersetuju untuk mengurangkan saiz terbitan bon jaminan kerajaan sebanyak RM5 bilion untuk tempoh 30 tahun. Saya tidak pasti siapa yang membuat keputusan untuk mempunyai jaminan kerajaan untuk bon ini, tetapi setakat yang saya tahu, Perbendaharaan/Pasaran Modal Hutang Bank telah memaklumkan bahawa jaminan kerajaan mungkin diperlukan untuk tempoh bon melebihi 20 tahun.

"Biasanya, pelangganlah yang membuat keputusan muktamad bagi struktur bon dan bagi 1MDB, pelanggan memainkan peranan penting dalam mendapatkan jaminan kerajaan untuk bon itu," kata saksi itu.

Beliau berkata, sebaik sahaja penerbitan bon itu dipersetujui, TIA membuka akaun di AmBank untuk tujuan menerima hasil bon.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. - Bernama