MN akan stabilkan politik hadapi kemelut ekonomi: Khairuddin

Hantaran Khairuddin di Facebook beliau pada Khamis.
Hantaran Khairuddin di Facebook beliau pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Muafakat Nasional (MN) akan mewujudkan kestabilan politik untuk memacu negara menghadapi kemelut ekonomi yang bakal melanda dunia tahun depan sekiranya gagasan ini diteruskan.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, gagasan itu adalah langkah besar bagi memperkasakan politik Islam Melayu di negara ini.

"MN adalah impian ahli dua parti Islam terbesar di negara ini.

"Ia adalah piagam kesatuan umat berasaskan al-Quran dan al-Sunnah yang dimeterai bersama dengan tulus ikhlas," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Sehubungan itu, Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas meminta kedua-dua ahli parti berkenaan mendoakan agar MN menjadi platform terbaik untuk kesatuan umat.

"Ia perjuangan politik kita bersama. Jangan jemu untuk menyeru umat kepada muafakat," tegas beliau.

Pas dan UMNO sebelum ini menjalin kerjasama apabila memeterai piagam MN pada 14 September 2019 sempena Himpunan Penyatuan Ummah.

Piagam itu antara lain bertujuan mengembangkan naratif Islam serta Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Artikel Berkaitan:

Selepas menandatangani piagam tersebut, hasil gabungan itu menyaksikan Pas dan UMNO menang tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK).

Namun, UMNO dilihat mula bersikap dingin dan tidak berpuas hati dengan Pas apabila parti diterajui Tan Sri Abdul Awang itu membentuk gabungan politik bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hingga hubungan kedua-dua parti itu dilihat semakin retak dan hampir terkubur.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid minggu lalu memberi kata dua kepada Pas sekiranya mahu meneruskan hasrat bekerjasama politik dengan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

UMNO menetapkan tiga syarat utama kepada Pas iaitu perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.