Atlet taekwondo serang OKU warga emas diperintah mohon maaf, bayar ganti rugi

Placid P. Rodriguez
Placid P. Rodriguez
A
A
A

KUALA LUMPUR- Atlet taekwondo wanita, Nur Dhia Liyana Shaharuddin hari ini diperintah membayar ganti rugi, dan mengemukakan penyataan maaf di akhbar tempatan selepas Mahkamah Sesyen Sivil membenarkan tuntutan saman yang difailkan oleh seorang warga emas kurang upaya (OKU) kerana menyerangnya dalam satu kejadian di LRT Putra Heights dua tahun lalu.

Hakim Lalilatul Zuraida Harron@Harun memerintahkan Nur Dhia Liyana, 25, selaku defendan membayar ganti rugi kepada warga emas OKU berkenaan Placid P Rodriguez dan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis yang perlu diterbitkan di dada akhbar tempatan dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Peguam Datuk Dr S. Arunan memberitahu pemberita, mahkamah memerintahkan atlet bekenaan membayar membayar ganti rugi am RM1,000 dan ganti rugi khas RM88 serta kos RM1,000 kepada anak guamnya warga emas berusia 71 tahun itu.

Dalam saman difailkan pada 6 Julai 2017, plaintif merupakan OKU bermasalah separa pekak dan separa buta itu, dia mendakwa telah ditendang sebanyak tiga kali pada kaki kiri dan dua kali pada kaki kanan secara tiba-tiba oleh atlet berkenaan di stesen LRT Putra Heights.

Menurut pernyataan tuntutannya, insiden serangan itu berlaku selepas dia memberi laluan kepada penumpang lain untuk keluar terlebih dahulu dari LRT sejurus tiba di stesen berkenaan.

Peguam Datuk Dr S. Arunan
Peguam Datuk Dr S. Arunan

Plaintif mendakwa ketika sedang berjalan di platform itu, dia ditolak secara tiba-tiba oleh defendan dan dia yang memakai alat bantuan pendengaran, turut mendengar suara perempuan menjerit dan memarahinya.

Plaintif juga mendakwa defendan melakukan serangan dan serang sentuh sebanyak tiga kali di kaki kiri dan dua kali di kaki kanannya serta melemparkan kata-kata dan jeritan yang memalukan di khalayak ramai.

Artikel Berkaitan:

Dakwa plaintif, dia turut merayu supaya wanita itu berhenti menyerangnya namun terus diserang sebelum dihalang oleh seorang pengawal keselamatan di stesen itu.

Warga emas itu mendakwa defendan cuba mengalih perhatian seolah-olah dia diserang terlebih dahulu sehingga dia dibawa ke balai polis dan ditahan untuk siasatan.

Dalam pada itu terdapat kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian berkenaan.

Akibat perbuatan tersebut, plaintif mendakwa dia mengalami kesakitan dan turut mengalami tekanan mental dan emosi serta trauma untuk keluar bersendirian kerana takut kejadian sama berulang.

Sementara itu, Arunan memberitahu pemberita bahawa saman itu difailkan bukan bertujuan untuk menuntut wang semata-mata tetapi bertujuan menuntut keadilan terhadap anak guamnya.

"Apa yang lebih penting, defendan (Nur Dhia Liyana) perlu memohon maaf kepada anak guam saya," katanya.