Mas Ermieyati sedia pertahan kerusi Masjid Tanah

Mas Ermieyati ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah di Masjid Tanah pada Rabu.
Mas Ermieyati ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah di Masjid Tanah pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersedia mempertahankan kerusi itu dengan berdepan calon-calon dari parti lain sekiranya pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) memberikan mandat kepadanya.

Beliau berkata, meskipun setakat ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang keputusan, namun pimpinan parti telah memberi bayangan bahawa ahli Parlimen parti akan dicalonkan semula di kerusi disandang.

"Dengan kudrat yang ada, saya akan sedaya upaya cuba untuk menawan hati pengundi termasuk merancang strategi dan siap siaga mengharungi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam musim banjir.

"Sesiapa pun yang dicalonkan dari mana-mana parti, tidak semestinya Barisan Nasional (BN), kita bersedia hadapi, buat persiapan, dapatkan sokongan dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah di Masjid Tanah di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, gerak kerja dan komitmen yang diberikan sepanjang tempoh empat tahun setengah sebagai wakil rakyat Bersatu akan menjadi kayu ukur sokongan pengundi.

"Walau apa pun pasang surut berlaku dalam politik tanah air, tapi saya tidak pernah tinggalkan tugas dan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

"Saya kira itu menjadi rekod pencapaian saya kalau diberi kepercayaan pucuk pimpinan untuk saya berada lagi di Masjid Tanah," kata beliau lagi.

Jelas beliau, PRU15 memperlihatkan pertambahan pengundi dalam Parlimen Masjid Tanah dari lebih 50,000 pengundi kepada 69,098 pengundi manakala pengundi muda bawah 40 tahun kira-kira 51 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Jadi banyak isu-isu yang menghimpit mereka terutama isu ekonomi, pekerjaan dan isu-isu sosial.

"Kita perlu tengok bagaimana untuk atasi masalah ini dan selari dengan gerak kerja apa yang telah saya lakukan sepanjang jadi ahli Parlimen," ujar beliau.

Pada PRU14 Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket BN menang dengan 22,898 undian ketika menentang bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Sabirin Jaafar mewakili PKR dan calon Pas, Mohd Nasir Othman.

Selain Mas Ermieyati, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf turut disebut- sebut akan dicalonkan untuk kerusi itu.