Polis Kedah lupus dadah bernilai lebih RM1 juta

Wan Hassan menunjukkan dadah-dadah yang diarahkan untuk dilupuskan oleh mahkamah selepas selesai bicara dan hukuman dijatuhkan bagi tahun 2014 sehingga 2021.
Wan Hassan menunjukkan dadah-dadah yang diarahkan untuk dilupuskan oleh mahkamah selepas selesai bicara dan hukuman dijatuhkan bagi tahun 2014 sehingga 2021.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1 juta yang merupakan barang kes kepada 3,506 kertas siasatan bagi tahun 2014 sehingga 2021 dan selesai bicara serta dijatuhkan hukuman di mahkamah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pelupusan tersebut akan dibuat di tapak pelupusan Bukit pelanduk, Negeri Sembilan pada Khamis selepas mendapat arahan daripada mahkamah.

"Antara dadah yang berada dalam senarai untuk dilupuskan ialah syabu, heroin dan juga air ketum yang bernilai RM1,041,133.

"Barang-barang kes ini telah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman di mahkamah bagi tahun 2014 hingga 2021, dikemas kini dan dimasukkan ke dalam tong untuk dibawa ke tapak pelupusan di Negeri Sembilan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kedah pada Rabu.

Jelas Wan Hassan, Polis Kedah serius membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini kerana ia antara faktor kepada penyumbang jenayah lain seperti mencuri yang dilakukan oleh penagih-penagih dadah.

Menurutnya, Ops Tapis yang kerap dilakukan termasuk dua Operasi Khas menggempur kawasan panas penagih dadah di Paya Nahu, Sungai Petani dan Kuala Kedah pada tahun ini banyak membantu mengurangkan kes kecurian di semua daerah di Kedah.

"Kita ambil pendekatan serius dan Ops Tapis dilakukan tidak henti-henti di Kedah, tahun ini kita sudah tangkap 10,000 penagih dalam tempoh sembilan bulan ini. Pengedaran dadah secara kecil-kecilan di jalanan mahupun besar juga berjaya dikekang.

"Polis Kedah bercadang untuk mengadakan program ini secara berterusan dengan bantuan agensi lain seperti Pasukan Gerakan Am, Maritim Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan bagi membanteras jenayah dadah," ujar Wan Hassan lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain pula, beliau berkata, Polis Kedah sudah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas parlimen dibubarkan pada Isnin lalu.

"Ktia ada kekuatan anggota seramai 5,139 anggota di Kedah tapi tidak boleh guna semua sebab ada yang perlu fokus pada tugas hakiki lain namun kita telah minta bantuan tambahan dari Bukit Aman sebanyak lebih 1,000 anggota untuk membantu di negeri ini.

"Secara keseluruhan kita akan guna lebih 6,000 anggota untuk PRU15 di Kedah dengan tambahan bantuan luar seperti dari Pusat Latihan Polis (Pulapol), Sukarelawan Polis dan anggota Rela," kata beliau.