City mandi peluh sebelum mara

Reaksi Guardiola ketika melihat hanya 10 pemainnya beraksi ketika menentang Copenhagen dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu. - Foto EPA
Reaksi Guardiola ketika melihat hanya 10 pemainnya beraksi ketika menentang Copenhagen dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu. - Foto EPA
A
A
A

MANCHESTER City dipaksa bekerja keras sebelum mara ke kelompok 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara dengan beraksi 10 pemain ketika terikat tanpa jaringan menentang FC Copenhagen pada Rabu.

Drama Sergio Gomez dibuang padang kerana melakukan kekasaran dan gol Rodri dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) mewarnai aksi di Stadium Parken itu.

Tuah juga tidak memihak penyerang The Citizens, Riyad Mahrez apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Pemain sensasi, Erling Haaland pula diletakkan di bangku simpanan menjelang kunjungan City ke Liverpool, Ahad ini.

Keputusan perlawanan tanpa jaringan itu meletakkan juara Liga Perdana tersebut gagal menjaringkan gol buat kali pertama selepas 24 perlawanan dalam semua aksi domestik dan pentas Eropah.

City bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila mampu mengelak daripada kekalahan selepas beraksi dengan 10 pemain selama sejam.

Anak buah Pep Guardiola mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya selepas Borussia Dortmund seri 1-1 menentang Sevilla dalam satu lagi aksi Kumpulan G ketika berbaki dua perlawanan.

"Beraksi selama satu jam seperti itu adalah sukar. Pemain sudah memberikan segala-galanya.

Artikel Berkaitan:

"Ia satu mata yang berharga dan kami menerima keputusan ini. Saya sangat berpuas hati. Kami akan kembali melakukan persiapan semula sebelum bertemu Liverpool," ujar Guardiola.

Ketiadaan Haaland yang sudah meledak 20 gol daripada 12 aksi menyerlahkan ketumpulan City untuk merobek gawang lawan.

Guardiola mempunyai alasan tersendiri merehatkan Haaland kerana penyerang itu menunjukkan tanda-tanda keletihan selepas kemenangan Sabtu lalu ke atas Southampton.