Banjir di Tanjong Karang makin surut

Keadaan salah satu lokasi yang dinaiki air di Tanjong Karang semakin surut, pada Selasa.
Keadaan salah satu lokasi yang dinaiki air di Tanjong Karang semakin surut, pada Selasa.
A
A
A

TANJONG KARANG - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menjalankan kerja-kerja menaik taraf ban pecah selepas berlaku fenomena air pasang besar mengakibatkan tiga lokasi di sekitar Tanjong Karang di sini, dinaiki air pada Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kerja-kerja menaik taraf itu dilaksanakan bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka jam 6 petang ini.

Menurutnya, sehingga kini, keadaan di tiga lokasi iaitu di Jalan Masjid Baroh, Pekan Tanjong Karang dan Taman Kopema terkawal serta paras air semakin surut.

"Sehingga kini, tiada pusat pemindahan dibuka, namun terdapat seorang mangsa dipindahkan ke rumah saudara terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Norazam memberitahu, bomba akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan pihaknya sudah mengarahkan semua anggota bersiap sedia menghadapi ancaman fenomena air pasang besar.

"Bot Sekinchan ditempatkan di Balai Bomba Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, manakala dua bot lagi di Pusat Kawalan Bomba (PKB)," ujarnya.

Jelas beliau, seramai 17 anggota dari BBP Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Sekinchan dikerahkan ke tempat kejadian berikutan ban pecah yang melanda tiga kawasan terbabit.

Kejadian ban pecah berlaku ketika kerja-kerja menaik taraf benteng dilakukan di ban berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Limpahan air setinggi 0.9 meter dilaporkan berlaku di kawasan terbabit, namun keadaan air semakin surut," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Pekan Tanjong Karang dan Jalan Masjid Baroh di sini mengalami limpahan air berikutan kejadian ban pecah di sini pada Selasa.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi menyebabkan berlaku limpahan air ke jalan raya dan kawasan berhampiran.