Projek ikonik Battersea Power Station dibuka kepada umum

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual merasmikan pembukaan Battersea Power Station.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual merasmikan pembukaan Battersea Power Station.
A
A
A

LONDON - Selepas tidak aktif selama beberapa dekad, Battersea Power Station yang dipulihkan serta ditukar menjadi pusat beli-belah dengan 100 kedai, bar, restoran dan riadah akan dibuka untuk warga London termasuk pelawat yang mahu meneroka mercu tanda ikonik yang disenaraikan di bawah Gred II*.

Bangunan bersejarah itu dimiliki oleh konsortium Malaysia dengan Sime Darby Property memiliki 40 peratus, S P Setia (40 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (20 peratus) serta aset komersial dalam bangunan stesen janakuasa itu kini dimiliki secara langsung oleh Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Pengurusan pembangunan sedang dijalankan oleh Battersea Power Station Development Company (BPSDC) yang berpangkalan di Britain.

Battersea Power Station bernilai £9 bilion (RM45 bilion) akan dilancarkan menjelang 12 Oktober ini dan ia akan dibuka kepada umum secara rasmi pada 14 Oktober.

"Bagi menandakan detik bersejarah ini, 'Festival Kuasa' selama lima hari akan berlangsung mulai 14 Oktober dengan aktiviti dan persembahan mesra keluarga percuma sebagai meraikan warisan unik bangunan itu dan sumbangannya kepada budaya British," kata BPSDC baru-baru ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual merasmikan pembukaan Battersea Power Station.

Semasa lawatan khas ke United Kingdom (UK) tahun lepas, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa bangga dengan keupayaan serta kejayaan syarikat milik Malaysia dan agensi kerajaan yang menjalankan perniagaan serta pelaburan di UK.

Media Malaysia dapat pengalaman pertama

Artikel Berkaitan:

Untuk memulakan festival lima hari itu, media Malaysia akan menjadi antara yang pertama diberi lawatan ke bangunan yang diubah suai oleh arkitek Wilkinson Eyre, yang merupakan salah satu firma seni bina terkemuka di dunia dengan portfolio projek pemenang anugerah yang berani, cantik dan pintar.

Antara lawatan itu termasuk lawatan komersial dan runcit BPS, KOA Residential Tour serta merasai pengalaman Lift 109, lif kaca yang unik yang dipasang dalam cerobong belah barat laut, yang menawarkan pemandangan panorama epik London pada ketinggian 109 meter.

Seterusnya, mereka akan menyertai warga London yang lain untuk meraikan detik bersejarah, 'Festival Kuasa' percuma selama lima hari yang akan berlangsung mulai Jumaat (14 Okt), dengan program persembahan secara langsung, aktiviti mesra keluarga, pemasangan dan banyak lagi bagi meraikan detik bersejarah itu.

Festival Kuasa

Festival ini akan dibuka dengan acara Lords of Lightning Arcadia, persembahan elektrik yang melepaskan berjuta-juta tenaga voltan daripada karektor yang berpakaian kalis elektrik pada 14 Oktober ini mulai 7 petang, kata Sime Darby Property dalam satu kenyataan baru-baru ini.

"Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai bentuk hiburan termasuk akrobat dan pengaktifan jenama.

"Sorotan lain termasuk pengiraan detik rasmi pembukaan pintu Battersea Power Station pada 10 pagi yang akan akan berlangsung di Malaysia Square, selatan bangunan itu," katanya.

Sepanjang Festival Kuasa, pengunjung boleh menikmati muzik secara langsung termasuk persembahan khas daripada Koir Komuniti Battersea Power Station susulan detik pengiraan, 'Emerge Showcase' dari World Heart-Beat Music Academy dan Setia Drummers, rombongan pemain dram Malaysia.

Projek Battersea Power Station meliputi 42 ekar dan merangkumi ruang komersial bercampur seluas 3.5 meter persegi, bersama-sama dengan 4,239 rumah baharu.

Kejayaan penjanaan semula Battersea Power Station mewujudkan 20,000 pekerjaan, menjana peluang kerjaya jangka panjang untuk penduduk tempatan. Kemudahan perubatan NHS yang baharu juga sedang dibina. - Bernama