Pahang peruntuk RM3.45 juta beli 22 traktor pertanian

Wan Rosdy menyempurnakan Majlis Penyerahaan Jentera (Traktor) di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Selasa.
Wan Rosdy menyempurnakan Majlis Penyerahaan Jentera (Traktor) di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang membelanjakan RM3.45 juta bagi membeli 22 traktor untuk disumbangkan kepada Jabatan Pertanian untuk kegunaan petani di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, 22 traktor itu diserahkan di 10 daerah di Pahang dan akan diuruskan sepenuhnya oleh Pejabat Pertanian.

"Setiap daerah akan mendapat dua traktor kecuali Cameron Highlands, manakala dua lagi akan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri. Kita minta Jabatan Pertanian yang menjaga dan berharap ia dapat dijaga dengan baik.

"Pemberian traktor ini menunjukkan kecaknaan dan keprihatinan kerajaan Pahang terhadap petani yang berdepan dengan masalah kesukaran untuk mendapatkan kemudahan traktor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahaan jentera (Traktor) di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Beliau menjelaskan, Pejabat Pertanian akan mengenakan kadar sewa yang sangat murah kepada petani yang ingin menggunakan kemudahan traktor.

"Kadar sewa ini dikenakan kerana traktor ini memerlukan kos penyelenggaraan. Jadi petani sudah bersetuju dengan penetapan kadar sewa.

"Kita yakin selepas ini petani boleh memohon dan insya-ALLAH Jabatan Pertanian boleh meluluskan penggunaan traktor dalam masa terdekat," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan sekiranya kerajaan Pahang mempunyai kedudukan kewangan yang baik, tidak mustahil kemudahan tersebut akan ditambah.