Rundingan BN, GRS akan dimuktamadkan dalam masa terdekat

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang berjalan dengan baik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Beliau berkata, BN Sabah akan bekerjasama dengan GRS dan rundingan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh yang terdekat ini.

"BN Sabah sudahpun mengenal pasti calon berpotensi untuk bertanding dan akan memuktamadkan senarai calon kepada BN Pusat setelah rundingan bersama GRS selesai.

"Pada siri jelajah Gelombang Biru dan pelancaran jentera BN yang telah kita laksanakan, sokongan peringkat akar umbi cukup meyakinkan semua persiapan BN Sabah untuk mengekalkan kemenangan dahulu dan dapat memberikan seberapa banyak kerusi untuk membantu BN menawan Putrajaya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah menyifatkan keputusan pembubaran Parlimen tepat pada masanya untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat untuk memilih kerajaan baharu yang mampu membawa kepada kestabilan politik negara.

"Pembubaran ini juga akan menghentikan tohmahan daripada beberapa pihak yang kerajaan dipilih pada hari ini sebagai kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

"Belum pernah berlaku dalam sejarah dalam satu penggal yang sama berlaku pertukaran tiga kali kerajaan dan Perdana Menteri yang menunjukkan keadaan politik negara tidak stabil sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

"PRU15 kali ini rakyat perlu bijak memilih kerajaan untuk menerajui negara. Konsep fikir sebelum undi penting bagi mewujudkan kestabilan politik selain tidak mengulangi episod pada PRU14 memilih parti yang bukan sahaja gagal melaksanakan manifesto yang dijanjikan tetapi gagal membawa kestabilan politik dan ekonomi negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bercakap mengenai persediaan PRU15, beliau berkata, BN Sabah telah pun bersiap sedia menghadapinya termasuklah pelancaran jentera BN yang akan diteruskan di beberapa zon.