Pengasas pondok dipilih tokoh Maulidur Rasul Kedah

Abdullah (lima dari kiri) dinobatkan sebagai tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah tahun 1444 hijrah di sebuah hotel pada Isnin. - Foto UPDA
Abdullah (lima dari kiri) dinobatkan sebagai tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah tahun 1444 hijrah di sebuah hotel pada Isnin. - Foto UPDA
A
A
A

ALOR SETAR - Pengasas Madrasah Takwiyatul Islamiah, Abdullah Lebai Samah dinobatkan tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah tahun 1444 hijrah.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlisah mencemar duli menyampaikan anugerah tersebut kepada Abdullah yang berasal dari Kampung Pokok Sena, Kepala Bukit, Pendang.

Abdullah yang masih aktif mengajar pada usia 86 tahun di pondok yang lebih dikenali pondok pengajian Bukit Lada, Pokok Sena, dekat sini menerima sijil, replika cek bernilai RM10,000 dan hadiah sampingan.

Abdullah berkata, beliau mula mengajar agama sejak tahun 1975 dan sehingga kini masih aktif.

"Tiada petua yang istimewa diamalkan. Saya hanya mengamalkan membaca al-Quran selepas solat Subuh selain turut berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis, berzikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurut bapa kepada 14 orang anak dan 29 cucu ini, kuliah agama diteruskan di madrasahnya setiap hari tanpa mengenakan yuran pengajian kepada mereka yang mengikuti pembelajaran di situ.

"Saya tidak memilih latar belakang pelajar dan usia yang mahu datang belajar. Ada beberapa pelajar sebelum ini adalah penagih dadah dan syukur mereka berubah meninggalkan najis dadah dengan berkat membaca al-Quran," katanya.

Abdullah berkata, pelajar juga didedahkan dengan cabang ilmu agama seperti cara-cara memandikan jenazah sekali gus menimbulkan rasa keinsafan di dalam diri mereka.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ibu bapa hari ini dinasihatkan agar memberikan didikan agama kepada anak-anak untuk mencorak masa depan mereka menjadi insan yang lebih baik.

"Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan bersih melainkan dua orang tuanya yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Imam Baihaqi dan Muslim)," katanya.