Bajet 2023: Sinar baharu buat penggiat filem kenegaraan

Bajet 2023 beri sinar baharu buat penggiat filem kenegaraan. - Gambar hiasan
Bajet 2023 beri sinar baharu buat penggiat filem kenegaraan. - Gambar hiasan
A
A
A

“KERIS yang menyilau. Aku dipanggil, Mat Kilau."

Demikian petikan dialog daripada filem tempatan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang pada hemat penulis, masih segar dalam ingatan penontonnya.

Apatah lagi filem yang berjaya mencatat hasil jualan hampir RM100 juta dalam masa 40 hari ia ditayangkan di pawagam, kini sudah boleh ditonton di aplikasi Netflix.

Namun bukan itu yang hendak dibahaskan kerana penulis sendiri bukan pengkritik filem seperti warganet yang tidak jemu mengulas tentang karya seni berkenaan.

Kali ini, penulis hendak berkongsi tentang isi kandungan dalam Bajet 2023 yang akhirnya membuatkan rakan-rakan penggiat seni filem tanah air bersorak gembira selepas ia diumumkan pada Jumaat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN).

Menurutnya, ia susulan kejayaan filem Mat Kilau yang berjaya memperoleh kutipan tertinggi dalam sejarah negara.

Melihat kepada inisiatif berkenaan, ia pastinya mendorong lebih ramai pengkarya untuk menerbitkan filem khususnya berunsur patriotik.

“Kerajaan juga menyediakan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Selain itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan diberi potongan cukai.

Ia bagi menyokong penggiat industri untuk mencipta kandungan kreatif berkualiti tinggi.

Pengumuman yang dibuat itu sekali gus menunjukkan kerajaan mula memberi fokus dan memandang serius terhadap industri perfileman negara yang semakin baik.

Dengan bajet yang besar, kini penggiat seni tanah air boleh menghasilkan filem yang lebih berkualiti, dan skil teknikal bermutu.

Bukan apa, penulis sering mendengar cakap-cakap yang memandang rendah kualiti filem tempatan dan lebih gemar menonton filem luar negara kerana karya seni tempatan tidak menarik disebabkan tidak memperoleh dana mencukupi.

Pembikin filem tempatan juga dikatakan sering mengambil jalan mudah menghasilkan karya yang tidak mencabar minda.

PENGIKTIRAFAN

Hakikatnya, filem tempatan menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah di festival-festival filem tempatan mahupun antarabangsa.

Antaranya seperti filem Roh, terbitan Kuman Pictures, yang dihasilkan hanya dengan peruntukan sebanyak RM360,000 dan diangkat sebagai pemenang kategori Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) pada Disember tahun lalu.

Filem tersebut turut memperoleh Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 sumbangan Finas.

Dalam konteks ini, penulis tidak menafikan terdapat filem berkualiti yang boleh dibikin menggunakan peruntukan yang kecil kerana yang penting mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.

Namun pada hemat penulis, dengan adanya peruntukan yang besar, ia pastinya dapat membantu penggiat seni untuk melakukan lebih daripada apa yang sebelum ini.

Sesungguhnya industri filem juga boleh menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang dicatatkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak 1.9 peratus.

Namun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyasarkan sumbangan sebanyak 20 peratus kepada KDNK bagi industri kreatif tempatan dengan anggaran RM31.9 bilion menjelang 2025.

Menurutnya, masih ada ruang yang luas bagi kerajaan untuk memudahkan pertumbuhan ekonomi dalam bidang tersebut apabila pencipta kandungan memainkan peranan penting untuk membangunkan industri kreatif negara, terutamanya era selepas Covid-19.

“Kerajaan Malaysia sentiasa mengiktiraf industri ini, dan telah menyalurkan pelbagai dana untuk membantu dan menyokong pengamal industri dan perniagaan untuk mengharungi pandemik,”katanya.

Oleh itu, penggiat seni tanah air perlu mengambil peluang keemasan untuk menghasilkan lebih banyak karya kreatif yang kualiti menggunakan dana yang disediakan oleh kerajaan menerusi Bajet 2023.

Semoga industri perfileman tempatan bertambah rancak menjelang tahun hadapan dan terus menempa nama di persada antarabangsa.

* Engku Shariful Azni ialah wartawan Sinar Harian Kuala Lumpur/Selangor