100 nelayan terima pukat, kelengkapan bernilai RM250,000

Zawahir (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan pukat kepada salah seorang penerima, Mohamad Razali Hamad di Bachok. - Foto Sinar Harian
Zawahir (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan pukat kepada salah seorang penerima, Mohamad Razali Hamad di Bachok. - Foto Sinar Harian
A
A
A

BACHOK - Islamic Aid Malaysia (IAM) membantu meringankan beban 100 nelayan di empat negeri di negara ini melalui pemberian pukat dan kelengkapan menangkap ikan dengan kos keseluruhannya bernilai RM250,000.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, bantuan pada tahun ini itu dibiayai oleh Etiqa Takaful dalam pelaksanaan tanggungjawab zakat korporat bersama masyarakat.

Menurutnya, 100 nelayan yang terpilih di empat negeri yang tersebut adalah di Johor dan Kelantan yang selesai diserahkan sebelum bantuan disusuli ke Pahang dan Kedah selepas ini.

“Mereka menerima kelengkapan menangkap ikan dan pukat yang mengikut kepada keperluan masing-masing seperti sesetengah tempat ada yang memerlukan pukat untuk menangkap ketam.

“Antara lain yang disumbangkan ialah jaket keselamatan, tong ikan, enjin dan kipas bot yang keseluruhannya bernilai RM250,000,” katanya ketika ditemui Program Jejak Prihatin dan Bantuan Pukat oleh Islamic Aid Malaysia (IAM) di Kandis pada Ahad.

Zawahir (tengah) bergambar bersama nelayan-nelayan di Bachok pada Ahad. - Foto Sinar Harian
Zawahir (tengah) bergambar bersama nelayan-nelayan di Bachok pada Ahad. - Foto Sinar Harian

Dalam pada itu, Zawahir menyifatkan pemberian kelengkapan menangkap ikan ketika menjelang musim Monsun Timut Laut (MTL) itu bersesuaian kerana nelayan boleh melakukan persediaan untuk kembali ke laut selepas monsun pada Mac tahun depan.

“Ketika MTL nelayan mula berehat dan mereka boleh memasang pukat-pukat yang diberikan oleh IAM sebagai persediaan kembali ke laut untuk menangkap ikan.

Artikel Berkaitan:

“Pemberian ini dilakukan setiap tahun dan tahun ini kos lebih tinggi berbanding RM200,000 pada tahun-tahun sebelumnya,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, IAM turut memberikan sumbangan pek makanan kepada 2,000 keluarga fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di lapan negeri.

“Pek makanan mengandungi barangan keperluan seperti beras, gula dan minyak masak itu bertujuan meringankan beban kesusahan masyarakat di kampung.

“Selain itu penerima turut menerima wang tunai RM50 setiap seorang,” katanya.