[VIDEO] Setengah jam tunggu gajah melintas jalan

Danita mendakwa terserempak dengan kira-kira 14 ekor gajah ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Aring.
Danita mendakwa terserempak dengan kira-kira 14 ekor gajah ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Aring.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Walaupun diselubungi perasaan gementar, sepasang suami isteri bersama seorang anak terpaksa menunggu sehingga setengah jam bagi memberi laluan sekumpulan gajah melintas jalan di Tasik Kenyir di sini.

Danita Harun, 43, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.40 tengah hari pada Sabtu ketika dia sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke rumahnya di Felda Aring, Gua Musang, Kelantan.

"Ketika dalam perjalanan, kami tiba-tiba terserempak dengan 14 ekor gajah yang menyeberang jalan. Kebetulan pula ketika itu kereta kami berada paling hampir iaitu kira-kira 20 meter dari lokasi kawanan gajah tersebut.

"Waktu itu kami semua tergamam. Perasaan saya cukup gementar namun dalam masa yang sama berasa teruja, lebih-lebih lagi anak saya. Dia teruja menyaksikan kawanan gajah itu bergerak di depan mata sehingga membayangkan di situ adalah kawasan zoo," katanya.

Danita yang juga seorang peniaga berkata, pengalaman terserempak dengan kawanan gajah itu adalah kali pertama sepanjang melalui laluan berkenaan.

"Ini pengalaman pertama seumur hidup terserempak dengan kawanan gajah. Sebelum ini pernah beberapa kali terserempak dengan gajah di kawasan itu, namun hanya seekor dua sahaja. Tidaklah sebanyak yang dijumpai semalam (Sabtu).

"Sebenarnya saya hanya berkongsi gambar dan video gajah untuk memberi peringatan kepada mereka yang biasa melalui jalan itu untuk lebih berhati-hati. Tak sangka pula perkongsian saya berkenaan penemuan gajah di media sosial menjadi tular," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, kejadian itu biasa berlaku memandangkan lokasi berkenaan merupakan antara habitat gajah liar.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, beberapa tips boleh dilakukan apabila terserempak dengan haiwan itu antaranya tidak membunyikan hon jika terserempak dengan gajah yang melintas atau berada berdekatan jalan.

“Pengguna jalan juga dinasihatkan untuk segera beredar, tidak berada berdekatan dengan mamalia itu atau cuba mengganggunya.

“Kita juga nasihatkan agar pengguna tidak turun dari kenderaan untuk merakam gambar atau video kerana tindakan itu boleh mengundang pelbagai kemungkinan tidak diingini,” katanya.

Insiden terserempak dengan kawanan gajah semakin kerap dilaporkan media kebelakangan ini.

Pada 3 Oktober lalu, pengguna jalan raya di laluan Felda Neram I menghala ke Felda Neram II di Kemaman terkejut apabila terserempak dengan lebih 30 ekor gajah liar melintas jalan tersebut.

Khamis lalu pula, tular rakaman video berdurasi 18 saat yang memaparkan sekumpulan gajah berada di atas bukit di Simpang Kuala Betis ke Lojing, Gua Musang.