Annuar Musa puji usaha Pas ke arah penyatuan ummah

Annuar - Foto Bernama
Annuar - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pas untuk meneruskan usaha penyatuan ummah bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan sesuatu yang harus dipuji.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu menyatakan tindakan Pas itu menepati maksud dan panduan syariah dalam mencari kebaikan serta menolak kemudaratan yang lebih besar.

“Ia terus membuka pintu perundingan dan perbincangan. Begitu juga UMNO, Presiden telah membuka kunci permuafakatan kerana hati kecilnya serta para pemimpin mahukan umat yang bersatu.

“Kita sememangnya diperintahkan ALLAH agar berpegang teguh pada tali ALLAH dan tidak bercerai berai,” katanya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Sabtu menegaskan parti itu tetap akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan 'komitmen' ketiga-tiga parti teras-Melayu seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Selain itu, parti tersebut juga telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur bagi membincangkan berkaitan pilihan raya serta memuktamadkan kerjasama antara UMNO dan Bersatu.

Pada masa yang sama, Annuar berharap usaha penyatuan antara tiga parti tersebut akan mencapai kejayaan.

“Teruskanlah usaha kerana di mana ada daya di situ ada kejayaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: