Prasarana sambut baik kerajaan teruskan insentif My50

Prasarana sambut baik pengumuman kerajaan meneruskan insentif Pas Bulanan My50 bagi manfaat 180,000 warga Lembah Klang.
Prasarana sambut baik pengumuman kerajaan meneruskan insentif Pas Bulanan My50 bagi manfaat 180,000 warga Lembah Klang.
A
A
A

SHAH ALAM - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyambut baik pengumuman kerajaan meneruskan insentif Pas Bulanan My50 bagi manfaat 180,000 warga Lembah Klang yang menggunakan rel dan bas untuk ke tempat kerja.

Menurut Prasarana, selaku pengendali pengangkutan awam, mereka mengalu-alukan pengumuman belanjawan yang dibentangkan dan menyokong penuh Bajet 2023.

"Di dalam bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan memperuntukkan bajet bagi inisiatif pas bulanan My50 bagi pengguna pengangkutan awam yang akan memberikan manfaat kepada hampir 180,000 pengguna.

"Inisiatif My50 merupakan sebuah pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada masa sama, Prasarana juga menyokong penuh inisiatif memberi diskaun 50 peratus di bawah program MyWIRA kepada pemegang kad veteran Angkatan Tentera Malaysia dan kad pesara Polis Diraja Malaysia ke atas penggunaan pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana.

"Inisiatif-inisiatif sebegini adalah bukti bahawa kerajaan amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

"Ini juga selari dengan hala tuju agenda pengangkutan mesra rakyat dengan memberi kemudahan dan juga memartabatkan pengangkutan awam," katanya.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Artikel Berkaitan: