KPM selesai isu beg sekolah berat

Bagi fasa pertama, seramai 249,646 murid Tahun Satu dan Dua daripada 626 sekolah rendah terima lokar masing-masing

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bersama seorang murid ketika melihat lokar di dalam kelas semasa majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Gombak.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bersama seorang murid ketika melihat lokar di dalam kelas semasa majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Gombak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masyarakat terutamanya golongan ibu bapa tidak perlu lagi bimbang dengan isu beg sekolah berat susulan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membekalkan lokar ke sekolah rendah telah bermula.

Bagi fasa pertama, sebanyak 249,646 murid Tahun Satu dan Dua daripada 626 sekolah rendah seluruh negara akan menerima lokar masing-masing manakala fasa kedua akan bermula pada tahun 2023 melibatkan murid Tahap 2.

Inisiatif berkenaan merupakan antara tujuh kerangka KPM sebagai penyelesaian menangani isu beg berat murid di samping penyusunan semula jadual waktu, mengehadkan bilangan buku latihan dan pendekatan waktu pembelajaran dan pembelajaran (PdP).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan, pemasangan lokar yang menelan kos sebanyak RM37.3 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan ini sekali gus menunjukkan kesungguhan kementerian dalam menangani isu beg berat.

ZAIDAH
ZAIDAH

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Zaidah Abdul Talib ketika ditemui berkata, inisiatif KPM menyediakan lokar bukan sahaja memanfaatkan murid malah turut memberi kelegaan kepada guru-guru sekolah berkenaan kerana tidak perlu berhadapan dengan masalah buku tertinggal di rumah.

“Penyediaan lokar kepada murid Tahap 1 sememangnya memberi kelegaan sebab kami tidak akan berdepan lagi dengan masalah murid tersalah buku atau bawa buku tidak mengikut jadual mata pelajaran.

Artikel Berkaitan:

“Apabila sudah ada lokar, buku-buku teks boleh ditinggalkan dalam kelas dan guru hanya beri buku latihan yang perlu dilakukan di rumah sahaja.

“Selain itu kita dapat ajar serta didik murid-murid untuk lebih bertanggungjawab (dengan) menyusun buku-buku dalam lokar. Bila buku tinggal di sekolah, murid datang (sekolah) dengan seronok, selesa, selamat dan sihat (juga) bertepatan dengan slogan ‘Sekolahku Sejahtera,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama pada Rabu.

Majlis penyerahan disempurnakan Mohamad Radzi dan turut diiringi oleh Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Inisiatif terbaik

Bagi Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Gombak Setia, Siti Noor Hajar Abdul Hamid, penyediaan lokar kepada muridmurid Tahap 1 merupakan inisiatif terbaik KPM sekali gus mencerminkan komitmen kementerian untuk meredakan kerisauan ibu bapa.

SITI NOOR HAJAR
SITI NOOR HAJAR

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan dan KPM kerana inisiatif ini memberi kelegaan kepada golongan ibu bapa yang selalu bimbang keselamatan anak-anak dengan isu beg sekolah berat.

“Anak saya memang dari dulu mengadu beg berat dan mereka di sekolah rasa terbeban, jadi kami sebelum ini telah lakukan inisiatif sendiri dengan menyediakan almari atau rak kecil kepada pihak sekolah untuk diletakkan di bilik darjah.

“Namun kini kami sudah tidak bimbang lagi kerana adanya lokar yang lebih sistematik dan banyak manfaat diperoleh dari segi mengurangkan beban dan stress sekali gus memberi kebaikan dari segi fi zikal dan minda anakanak,” katanya.

MUHAMMAD AMIRUL AMIN
MUHAMMAD AMIRUL AMIN

Sementara itu, Muhammad Amirul Amin Rozilan yang merupakan murid Tahun 2 SK Gombak Setia pula seperti tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila diberitahu akan menerima sebuah lokar di bilik darjah.

“Hari ini saya gembira kerana dapat lokar sendiri, boleh tinggalkan buku yang tidak digunakan di situ.

“Selepas ini beg sekolah tidak berat lagi, saya boleh belajar dengan selesa,” katanya.

Dalam pada itu bagi memastikan murid dapat memanfaatkan inisiatif yang diberikan bagi meringankan beban mereka, Radzi berharap golongan ibu bapa dapat membantu dengan memantau kandungan beg sekolah anak-anak agar penggunaan lokar dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pegawai-pegawai seperti jemaah nazir di pejabat pendidikan negeri bagi memantau penggunaan lokar di setiap sekolah agar murid tidak lagi terbeban dengan muatan beg selepas ini.

“Kita minta Jemaah Nazir turun ke bawah bagi memantau aspek pematuhan kepada tujuan inisiatif ini dan selain pemantauan, kita turut perlukan kerjasama baik (dari semua pihak) termasuk murid, ibu bapa dan guru supaya budaya ini dapat dibina dan masingmasing memahaminya sekali gus beg dibawa murid tidak seberat seperti sebelumnya,” katanya.

Pemasangan lokar yang menelan kos sebanyak RM37.3 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan ini.
Pemasangan lokar yang menelan kos sebanyak RM37.3 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan ini.

Tujuh pendekatan KPM menangani isu beg berat

1. Penyediaan Lokar

- KPM telah menyediakan peruntukan bagi tujuan pembekalan lokar ke sekolah rendah dua sesi iaitu Fasa 1 yang dilaksanakan pada tahun ini manakala Fasa 2 dijangka 2023.

- Melibatkan 230 sekolah di Selangor, Johor (96); Negeri Sembilan (20); Pahang (16); Terengganu (3); Kuala Lumpur (13); Putrajaya (1); Kedah (24); Perak (38); Pulau Pinang (38); Sabah (124) dan Sarawak (23)

2. Penyusunan semula jadual waktu

- Melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran bagi tahap 1 dan lima hingga enam mata pelajaran bagi tahap 2 dalam sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

3. Bilangan buku latihan

- Buku latihan tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu satu masa.

- Setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat.

4. Buku aktiviti dan buku kerja murid

- Hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

5. Buku teks digital

- Penerbitan baharu buku teks dalam format digital. Sehingga kini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

6. Pendekatan PdP

- Guru digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid (PBM) iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.

7. Kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

- Kerjasama dengan Jakim untuk penyelarasan pakaian supaya murid-murid diberi kelonggaran untuk memakai pakaian seragam sekolah semasa sesi persekolahan KAFA.