PRU15: Pemuda PBRS dakwa kerjasama GRS-BN tidak dibincangkan

Edwin Laimin
Edwin Laimin
A
A
A

KOTA KINABALU - Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mendakwa kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat BN Sabah.

Ketuanya, Profesor Dr Edwin Laimin meluahkan rasa kecewa Pemuda PBRS kerana sebarang mesyuarat BN bagi menentukan kerjasama itu tidak dimaklumkan oleh badan perhubungan BN Sabah.

"Mengikut Perlembagaan BN, Perkara 13, semua keputusan yang melibatkan kepentingan BN hendaklah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN dengan sebulat suara.

"Malangnya, isu kerjasama antara GRS dan BN dalam mendepani PRU15 tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat BN Sabah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Edwin bagaimanapun berkata, Pemuda PBRS tidak menolak sebarang kerjasama BN dan GRS, namun semua pihak harus dilibatkan termasuk komponen itu.

"Oleh itu, Pemuda PBRS meminta agar sebarang pengumuman kerjasama dengan mana-mana pihak hendaklah dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Perhubungan BN Sabah sebelum ia diumumkan.

"Kita tidak menolak sebarang kerjasama daripada BN dan GRS tetapi sekurang-kurangnya kita haruslah dilibatkan sebagai semangat setia kawan dalam BN selama ini," katanya.

Sebelum itu Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan beliau adalah wakil daripada GRS untuk berunding dengan BN bagi menentukan agihan kerusi Parlimen dengan adil dan saksama bagi menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan: