Kerajaan jamin wang pendeposit TH selamat: Mujahid

Mujahid Yusof Rawa - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan memberi jaminan wang pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) selamat dan usaha memajukan badan pengurusan haji itu sedang giat diusahakan barisan pengurusan baharu TH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pengurusan yang mendapat sokongan penuh kerajaan kini berada pada landasan tepat selepas segala penstrukuturan dilakukan.

Menurutnya, sekiranya penstrukturan lancar dan mendapat sokongan penuh terutamanya daripada rakyat, bayaran hibah untuk tahun kewangan 2019 akan meningkat.

“Sehubungan itu, saya ingin memberi jaminan kepada para pendeposit bahawa kita bukan sahaja akan memastikan wang mereka selamat tetapi TH bersama kerajaan komited membawa institusi ini lebih maju ke hadapan.

“Dengan segala pelan pemulihan TH yang dibuat ketika ini, ia telah menunjukkan kesan positif. Jurang defisit ditutup dan dengan itu TH mampu memberi hibah dengan jumlah RM913 juta iaitu 1.25 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, selepas pengumuman hibah dibuat pada Jumaat lepas, urus niaga di TH berjalan seperti biasa di semua cawangan dan tiada pengeluaran luar biasa dilakukan.

“Urus niaga berjalan lancar dan terkawal. Saya dimaklumkan cawangan TH juga menerima caruman pendeposit baru," Jumaat lepas, TH mengumumkan agihan hibah atau bonus 1.25 peratus kepada semua 9.3 juta pendepositnya bagi tahun kewangan 2018 membabitkan agihan keseluruhan RM913 juta.

Jumlah tersebut bermakna ia merupakan agihan hibah terendah diagihkan badan pengurusan haji itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, TH mencatatkan lebihan aset sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan semasa berbanding defisit RM4.1 bilion dan keuntungan boleh agih sebanyak RM2 bilion.

Menurutnya, setakat 31 Disember 2018, TH merekodkan aset keseluruhan sebanyak RM76.5 bilion iaitu lebih tinggi berbanding liabiliti berjumlah RM75.5 bilion.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia