Kerajaan tidak tolak kemungkinan haramkan Waze - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu mungkin dilakukan selepas kerajaan meneliti alternatif bagi menggantikan Waze, termasuk keupayaan tempatan untuk membangunkan aplikasi seumpamanya yang mampu berfungsi dengan baik.

"Isu Waze ini isu berat bagi kita kerana pertamanya, ibu pejabatnya itu di Israel. Kedua, dalam perjanjian penggunaan aplikasi itu, jika ada masalah, itu undang-undang Israel yang tentukan. Itu menyebabkan mengapa saya ambil tindakan agak spontan (larang penggunaan Waze).

"Hal ini tak boleh nak tangguh, satu hari pun tak boleh. Ada orang kata patut sabar dulu, semak dulu.

"Saya kata dah sah kalau gunakan Waze, maknanya secara automatik dia menyerahkan semua maklumat kepada Israel. Jadi ini soal keselamatan rakyat dan negara, saya tidak boleh kompromi,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana di sini hari ini.

Anwar berkata berikutan larangan penggunaan Waze khususnya dalam kalangan penjawat awam, beliau menyarankan agar orang ramai beralih kepada penggunaan aplikasi tempatan.

"Walaupun tidak canggih, tak apalah kita baiki. Lebih baik selamat daripada serahkan maklumat kerahsiaan negeri, peribadi saudara, dan negara kepada Israel. Itu yang penting untuk difahami.

"Apa lagi kita ini di antara negara yang keras menentang rejim Zionis Israel yang kejam itu. Jadi, tentunya tindakan kita itu dipantau.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya lepas ini, semua pengaruh mereka akan digunakan untuk menghentam kita," katanya.

Ditanya mengenai kontroversi berkaitan kompetensi aplikasi navigasi TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Anwar mengakui terdapat kekurangan dalam hal berkenaan.

"Ya, saya dapat pengakuan daripada LLM, kata Tuju itu rupanya tidak lengkap. Betullah TuJu tu ada kekurangan. Tapi buat sementara waktu, saya tidak mengerti kalau hal ini jadi kontroversi, kontroversinya kerana lembabnya alternatif, itu saya setuju.

"Tetapi keputusan kita (larang) bukan kontroversi. Ini soal keselamatan negara. Aneh kalau orang masih menekan. Saya tahu saya dikritik, dikecam kerana terburu-buru dan gopoh, saya kata tak apalah kalau agak menyusahkan berapa orang, saya minta maaf. Tetapi bagi saya keselamatan negara lebih penting," katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan isu berkaitan Waze ada dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.- Anwar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!