Motosikal, ikan tilapia Akmal Saleh terjual RM180,000

SHAH ALAM - Selepas tiga hari membuka bidaan bagi motosikal dan ikan tilapia ternakannya, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan kedua-dua aset miliknya itu berjaya dijual pada harga keseluruhan RM180,000 hasil bidaan orang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, motosikal jenis Honda X-ADV dibeli oleh seorang rakannya pada harga RM150,000, manakala jualan keseluruhan ikan dalam kolamnya mengumpul hampir RM30,000.
"Pada masa yang sama, dicampur dengan jumlah simpanan saya dan keluarga insya-ALLAH boleh mencukupkan kepada RM300,000 menjelang minggu hadapan.
"Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu dan mendoakan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini beliau dilapor menawarkan motosikal dan ternakan ikan tilapia yang diusahakan untuk dibida penyokong dan rakan-rakan dalam usaha mengumpul dana bagi membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000.
Beliau diperintahkan Mahkamah Tinggi Melaka untuk membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk kepada veteran DAP, Teresa Kok, selain perintah injunksi bagi menghalangnya daripada membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Ahli Parlimen Seputeh itu pada masa hadapan.
Dalam pada itu Dr Muhamad Akmal turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang membantu termasuk mereka yang masih menyalurkan wang meskipun beliau sebelum ini meminta supaya tiada lagi sumbangan diberikan kepadanya.
"Semua hasil sumbangan yang telah diberikan kepada saya mencecah hampir RM173 733.61 sehingga kenyataan ini dibuat.
"Sehubungan itu, saya ingin meminta izin dari anda semua yang telah memberi sumbangan untuk saya menginfakkan jumlah keseluruhan dan diagihkan kepada mereka yang lebih memerlukan.
"Segala perincian setiap sen yang diagihkan, saya akan maklumkan di dalam media sosial. Tiada apa-apa perkataan mampu untuk saya ucapkan atas kebaikan anda semua," ujarnya.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai supaya tidak lagi memasukkan wang ke akaunnya bagi memastikan proses pengagihan sumbangan dapat berjalan lancar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

