Wanita jadi malim gunung kerana minat aktiviti mendaki

Kenangan manis Hazlinda dan suami ketika mendaki di Everest Base Camp, Nepal.
Kenangan manis Hazlinda dan suami ketika mendaki di Everest Base Camp, Nepal.
A
A
A

SEREMBAN - Berstatus ibu kepada empat cahaya mata dan kerjaya tetap sebagai setiausaha sebuah syarikat swasta tidak menghalang Hazlinda Isa, 47, untuk menjadi malim gunung.

Ini kerana, jiwanya gemarkan aktiviti mendaki sejak berusia 17 tahun yang juga merupakan hobi keluarganya.

Menurutnya, boleh dikatakan setiap bulan, tiga atau empat gunung didakinya sama ada secara bersendirian atau membawa kumpulan pendaki.

"Bila Jabatan Perhutanan buka peluang untuk jadi malim gunung, saya tawarkan diri kerana ia sememangnya hobi saya dan pada masa sama, saya juga mempunyai syarikat mengendalikan aktiviti kumpulan pendaki.

"Ia juga ruang untuk saya tambah ilmu dalam aktiviti pendakian selain bertukar-tukar pendapat dengan malim gunung lain," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Hazlinda tidak menafikan ada sesetengah pendaki yang kurang yakin dengan kemampuan malim gunung wanita, namun persepsi itu dianggap biasa.

Hazlinda (belakang, dua dari kanan) membawa pendaki mendaki Gunung Kinabalu di Sabah.
Hazlinda (belakang, dua dari kanan) membawa pendaki mendaki Gunung Kinabalu di Sabah.

Katanya, bukan semua mampu menjadi malim gunung kerana ia memerlukan stamina yang tinggi dan mengetahui selok-belok gunung yang didaki.

Artikel Berkaitan:

"Kita nak bawa orang mendaki, jadi kita perlu ada ilmu. Saya juga biasanya akan buat latihan dengan kumpulan pendaki yang saya akan bawa sebagai persediaan untuk mendaki gunung yang tinggi.

"Paling penting setiap pendaki perlu tahu kemampuan dari segi mental dan fizikal sebelum memulakan pendakian ada buat kajian sedikit tentang gunung yang ingin daki," katanya.

Bagaimanapun ujarnya, kebanyakan gunung di Negeri Sembilan tidak memerlukan untuk bermalam di lokasi melainkan jika ada permintaan daripada pendaki.

Pada masa sama kata Hazlinda, dia turut menawarkan diri sebagai porter atau pengangkat barangan peribadi pelanggan dan paling berat beg dibawanya ialah 20 kilogram.

"Kalau ada yang tak mampu pikul barang, malim boleh bantu tapi kalau setakat gunung di Negeri Sembilan tak memerlukan khidmat porter kerana bukannya perlu berhari-hari.

"Sebelum menerima pelanggan, saya terlebih dahulu akan cuba kenal mereka dan paling ramai saya akan bawa 15 orang dan itu pun dengan bantuan suami atau pasukan saya," katanya.

Selain itu Hazlinda berkata, dia bertuah kerana mempunyai minat yang sama dengan suami yang kini menguruskan sepenuhnya syarikat Trekzo Resources iaitu yang menawarkan khidmat menguruskan aktiviti rekreasi luar.

"Tak sangka bermula dengan hobi mendaki, ia kini jadi sumber pendapatan buat kami.

"Disebabkan saya bekerja, suami yang akan uruskan semuanya dan saya hanya akan turut serta pada waktu cuti," katanya.