Annuar sahkan mesyuarat kabinet esok

Annuar Musa. - Foto Bernama
Annuar Musa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan satu mesyuarat kabinet akan berlangsung esok dan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Annuar berkata, pihaknya akan membawa beberapa cadangan antaranya meningkatkan stok minyak masak sebagai alternatif menambah bekalan tersebut di pasaran.

“Saya tidak boleh jawab (bubar Parlimen) sebab tidak tahu. Saya anggota jemaah menteri, ada notis (mesyuarat) untuk esok. Mesyuarat lazimmnya berlaku pada Rabu, tetapi sebab Parlimen bersidang maka diadakan pada Jumaat.

"Saya dan menteri lain akan hadir ke mesyuarat macam biasa, kerja jalan terus. Ada mesyuarat, Parlimen tidak bubar lagi esok (Jumaat).

"Hasil keputusan hari ini (Khamis) akan dibawa (dalam mesyuarat kabinet) kerana memerlukan persetujuan jemaah menteri, jadi tidak timbul isu (bubar Parlimen) itu," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Parlimen pada Khamis.

Dalam pada itu Annuar menjelaskan, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, kerajaan tetap wujud di bawah pimpinan Perdana Menteri 'care taker' yang akan dilantik sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung.

“Bubar tak bubar (Parlimen) itu kuasa Yang di-Pertuan Agong, berasaskan kepada sembah cadangan daripada Perdana Menteri dan jemaah menteri. Itu (bubar Parlimen) di luar skop jawatankuasa jihad, bubar atau tidak kita jalan terus dan akan terus buat kerja.

“Kerajaan tetap wujud, walaupun dirujuk sebagai kerajaan 'care taker' untuk jaga semua perkara. Jadi kerajaan akan terus memikul tanggungjawab ini dan jawatankuasa kita akan meneruskan tugas seperti biasa,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu desas-desus pembubaran Parlimen hangat diperkatakan ekoran Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang tadi.